KUCHING: Cadangan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Ombudsman dilihat penting sebagai mekanisme semak dan imbang yang berkesan bagi memastikan setiap syor serta laporan Ombudsman diberi perhatian serius oleh agensi kerajaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, menerusi jawatankuasa tersebut, segala isu berkaitan salah tadbir atau kelemahan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam dapat dipantau, diteliti serta ditambah baik secara tersusun dan efektif demi kepentingan rakyat.
“Pada masa sama, usul yang dibawa oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya ini juga memperlihatkan peranan aktif Dewan Undangan Negeri Sarawak dalam memperkasakan fungsi pengawasan legislatif.
“Ini terutamanya terhadap pentadbiran kerajaan agar sentiasa bergerak selari dengan prinsip tadbir urus yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Jawatankuasa Pilihan Khas di bawah Seksyen 42(3), Ordinan Ombudsman Sarawak 2023 pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, Ombudsman yang efektif berperanan sebagai jambatan antara rakyat dan kerajaan dalam memastikan setiap keputusan pentadbiran dibuat secara adil, telus serta berpaksikan kepentingan rakyat secara keseluruhan.
Jelasnya, rakyat bukan sahaja menilai sesebuah kerajaan berdasarkan pembangunan fizikal semata-mata, malah turut melihat tahap integriti, kecekapan dan kejujuran dalam pentadbiran tanpa mengira parti politik yang memegang tampuk kepimpinan.
Mengambil contoh di Malawi, Royston berkata Sarawak kini turut bergerak ke arah sama dalam memperkukuh integriti pentadbiran awam.
“Di bawah kepimpinan Premier, Kerajaan Sarawak telah bertindak lebih proaktif dalam memperkukuh integriti pentadbiran melalui pelbagai pendekatan reformasi institusi, digitalisasi perkhidmatan kerajaan, pengukuhan tadbir urus serta penekanan terhadap kecekapan penyampaian perkhidmatan awam di negeri ini.
“Kita dapat melihat sendiri pentadbiran kerajaan Sarawak yang diterajui oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki yang memberi fokus menyediakan perkhidmatan awam sistematik serta menitikberatkan soal integriti dan keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan.
“Ini amat penting kerana perkhidmatan dan pembangunan tanpa integriti akan melahirkan ketidakseimbangan, manakala kemajuan yang disertai dengan ketelusan tentunya membawa kestabilan jangka panjang kepada sesebuah wilayah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan yang ingin mencapai status maju perlu memastikan rakyat terus yakin terhadap sistem penyampaian kerajaan.
“Rakyat mahu melihat kerajaan yang mendengar, kerajaan yang bertindak dan kerajaan yang berani memperbetulkan kelemahan.
“Disebabkan itu, pemerkasaan institusi Ombudsman adalah relevan dan signifikan dalam konteks Sarawak hari ini,” tambahnya.



