KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) jabatan itu dalam persediaan menghadapi bencana banjir.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad, berkata antara pendekatan yang dilaksanakan oleh jabatan adalah menukar waktu syif anggota daripada 12 jam kepada 24 jam bagi meningkatkan kekuatan tenaga kerja kepada 30 peratus.
Tambahnya, jabatan juga mengambil langkah untuk membekukan cuti semua anggotanya sepanjang berlakunya bencana banjir di samping membentuk ‘Rapid Intervention Team’ (Red Team).
“Apabila keperluan mendesak di suatu tempat itu tinggi, kita gerakkan ‘Red Team’ itu ke lokasi.
“Pasukan ‘Red Team’ kita merupakan pasukan yang pertama kita masukkan ke dalam kawasan ‘ground zero’ bagi membolehkan operasi dijalankan,” katanya.
Menurutnya lagi, mereka bersedia untuk menggerakkan 1,101 pegawai unit STORM ketika berlakunya bencana banjir.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Pentauliahan Unit STORM di JBPM Sarawak di sini, hari ini.
Di samping itu, katanya, antara mekanisme lain yang dijalankan oleh jabatan adalah membuat koordinasi antara agensi yang lain.
Nor Hisham berkata kerjasama itu bertindak sebagai langkah hadapan bagi menangani insiden di peringkat setempat yang bergantung kepada kesesuaian.
Beliau dalam pada itu memberi peringatan kepada masyarakat untuk kekal berada di rumah sementara menunggu diselamatkan apabila berlakunya bencana banjir.
Katanya, pihaknya menzahirkan rasa dukacita tentang dua mangsa di Padang Terap, Kedah, dan seorang mangsa di Penampang, Sabah, yang lemas ketika meredah arus banjir yang kuat dan paras air yang tinggi.
“Kita harap insiden sebelum ini tidak berulang.
“Bagi pihak jabatan, kita akan teruskan usaha-usaha memastikan bahawa keupayaan kita untuk menangani banjir, khususnya di peringkat penyelamatan itu kita dapat laksanakan dengan optimum bersama agensi-agensi lain,” katanya.

