ARTIKEL

RAKAM KENANGAN... Pengarah JBPM Sarawak, PKPjB Jamri Masran merakam kenangan bersama-sama anggota bomba sempena Majlis Perhimpunan Bulanan April 2026 JBPM Negeri Sarawak di Zon 4 (Sibu), hari ini.

JBPM Sarawak terima 25 unit kenderaan operasi ringan tertinggi perkukuh kesiapsiagaan operasi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIBU: Sarawak merupakan antara negeri yang menerima jumlah Kenderaan Operasi Ringan (LOV) tertinggi, iaitu sebanyak 25 unit berikutan keperluan operasi unik merangkumi kawasan pedalaman, laluan sungai serta penempatan terpencil.

Pengarah JBPM Sarawak, PKPjB Jamri Masran berkata, penambahan aset berkenaan amat penting bagi memperkukuh keupayaan tindak balas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, khususnya dalam menghadapi situasi kecemasan di kawasan mencabar serta jauh dari pusat bandar.

“Secara keseluruhan, JBPM Sarawak bakal menerima sebanyak 25 unit LOV, iaitu sebahagian daripada pengagihan 160 unit kenderaan baharu di seluruh negara, sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan operasi serta kecekapan pasukan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan April 2026 JBPM Negeri Sarawak yang berlangsung di Zon 4 (Sibu), hari ini.

Tambah Jamri, penambahan aset itu dijangka mempercepatkan tindak balas operasi kebombaan dan penyelamatan, terutama di kawasan yang sukar diakses.

Katanya, keadaan geografi Sarawak berbeza dengan negeri lain memandangkan terdapat kawasan yang memerlukan perjalanan jauh, merentas sungai dan melalui laluan mencabar. Justeru, kesiapsiagaan logistik serta mobiliti anggota perlu sentiasa diperkasa.

Selain aspek kenderaan, beliau berkata, JBPM turut memberi tumpuan kepada pengisian penuh pasukan khas di seluruh negara yang dijangka selesai menjelang tahun hadapan.

Katanya, antara pasukan terlibat termasuklah Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT), Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), Unit Rim (RIM) serta Unit Pengesan K9.

Jamri berkata, langkah itu penting bagi memastikan setiap pasukan khusus memiliki kekuatan anggota yang optimum serta mampu melaksanakan tugas secara lebih berfokus mengikut keperluan operasi semasa yang semakin kompleks.

“Dalam aspek kebajikan pula, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta di bawah Belanjawan 2026 bagi kerja-kerja penyelenggaraan kuarters bomba di seluruh negara yang melibatkan 1,545 unit kuarters, termasuk 169 unit di Sarawak.

“Penambahbaikan kemudahan kediaman anggota amat penting kerana kesejahteraan keluarga memberi kesan langsung terhadap motivasi serta prestasi anggota ketika bertugas,” jelasnya.

Pada masa sama, Jamri berkata, JBPM turut memperuntukkan RM10 juta melalui Kumpulan Wang Kebajikan Bomba (KWKB) bagi kemudahan kebajikan, sukan, rekreasi serta penyelenggaraan balai bomba.

Mengulas mengenai sambutan Jubli Emas penubuhan JBPM, beliau berkata, ulang tahun ke-50 pada tahun ini menjadi simbol kekuatan institusi berkenaan yang terus berkembang seiring cabaran semasa.

“Lima dekad ini bukan sekadar sejarah, tetapi amanah untuk kita terus memperkukuh legasi dan memacu transformasi perkhidmatan bomba melalui aspirasi Kita Bomba,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga bomba Sarawak yang sentiasa komited dalam melaksanakan tugas walaupun berdepan cabaran medan yang sukar, selain mengiktiraf sokongan media dalam menyampaikan maklumat keselamatan kebakaran kepada masyarakat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU