MIRI: Pembinaan jejambat (viaduct) Bukit Song sepanjang 300 meter bagi Pakej WPC 11, Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak dijangka siap lebih awal daripada jadual, iaitu pada bulan depan.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau telah melihat sendiri dan mendengar taklimat berkenaan pembinaan jejambat Bukit Song yang terpaksa dibuat berikutan kawasan tersebut yang tidak sesuai untuk tambakan disebabkan berlakunya pergerakan tanah.


“Ini telah menyebabkan berlakunya sedikit kelewatan pembinaan sepenuhnya LPB Sarawak.
“Bagaimanapun, pembinaan jejambat ini yang sepatutnya dijadualkan siap pada bulan Oktober, dijangka dapat disempurnakan bulan depan, sekaligus melengkapkan pembinaan lebuh raya ini secara total kepada semua pengguna LPB di Sarawak,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi, hari ini.

Menurutnya, pakej WPC 11 adalah pakej terakhir daripada 11 pakej kerja pembinaan LPB Sarawak.
Beliau turut meninjau dan diberi taklimat berkenaan kerja-kerja naik taraf jalan sepanjang 4.2 kilometer dan penukaran paip air baharu LAKU (kini dikenali sebagai Sarawak Water Sdn. Bhd).


“Penukaran paip ini berpunca daripada kejadian paip pecah sebelum kerja-kerja pembinaan dilaksanakan di kawasan tersebut.
“Walaupun terdapat sedikit kelewatan, kerja tambahan ini adalah wajar bagi memastikan bekalan air di bandar raya Miri tidak terjejas dan jalan yang dibina kelak tidak berisiko rosak pada masa hadapan,” jelasnya.
Sehubungan itu, Nanta berharap Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dapat memastikan libat urus antara kumpulan projek dengan kontraktor serta pemantauan rapi sentiasa dilaksanakan secara berkala agar projek tersebut berjalan lancar dan siap mengikut jadual yang ditetapkan.

