Pertandingan Miss International Sarawak yang julung kali diadakan menjadi inisiatif berkesan dalam mempamerkan kecantikan, bakat dan mempromosikan warisan budaya.
Selain itu, ia juga bertujuan memperjuangkan isu kemanusiaan, termasuk pendidikan dan menjadi suara mereka yang tidak bersuara.

Justeru, Negeri Sarawak bersama-sama Sabah dan Semenanjung diberi keistimewaan untuk mengatur, memilih dan membentangkan peserta di peringkat kebangsaan.
Lebih menarik, wakil yang terpilih juga berpeluang bertanding dan berbangga mewakili negara di pentas antarabangsa di Tokyo, Jepun, Oktober depan.

Menurut Pengarah Negeri Miss International Sarawak, Datuk Raymond V. Lolly, pertandingan ratu cantik ini bukan sekadar pertandingan, tetapi perayaan kepelbagaian dan keterangkuman.
“Kami percaya bahawa kecantikan datang dalam semua bentuk, saiz dan warna, dan kami ingin menyediakan platform untuk wanita dari semua latar belakang untuk mempamerkan bakat dan kebolehan unik mereka,” jelasnya.

Tambah beliau, Miss International Sarawak memberi tumpuan kepada masyarakat melalui pelbagai aspek perkhidmatan masyarakat dalam mewujudkan platform ratu cantik.
“Pertandingan Miss International ini adalah pertandingan yang dianjurkan oleh Persatuan Kebudayaan Antarabangsa yang diadakan buat kali pertama pada 1960 yang berpangkalan di Jepun.
“Ia merupakan pertandingan keempat terbesar di dunia dari segi bilangan pemenang negara yang menyertai pertandingan antarabangsa itu.
“Kami juga berhasrat untuk membina hubungan dengan organisasi dan orang yang berusaha dengan gigih dan meninggalkan kesan positif dan untuk kebaikan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sesi sidang media di Aras 1, Juma’ani Pavilion, Vista Tunku semalam.
Dalam pada itu, katanya ia adalah usaha yang turut dilakukan untuk memotivasikan, mengubah dan mengkonsepkan pelan tindakan untuk memberikannya kembali kepada masyarakat.
“Ia memberi manfaat dari segi kebaikan untuk anak-anak masa depan menggunakan intipati keindahan dan hubungan antara budaya sebagai subjek terasnya.
“Inisiatif ini juga merupakan usaha untuk memberi impak dalam pelbagai sektor termasuk pelancongan, seni, budaya, pemerkasaan wanita, mata pencarian dan sosioekonomi,” jelasnya.
Untuk pengetahuan, sesi uji bakat pertama melibatkan 15 peserta yang dinilai oleh empat orang juri berpengalaman iaitu Datuk Raymond V. Jolly, Arzmy Hargreaves, Datin Pearl Jay Mohan dan Bridget bulon Taja.
Pendaftaran dibuka untuk semua rakyat Sarawak yang layak berumur 18 tahun dan tidak melebihi 28 tahun menjelang tahun ini.
Syarat kelayakan ialah peserta mestilah bujang, tidak pernah berkahwin, tidak pernah melahirkan anak, mesti mempunyai kesihatan yang baik dan akhlak yang baik serta tidak disabitkan dengan jenayah feloni.

