ARTIKEL

Pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin (tengah) berkenan menyiram air mawar di pusara bapa saudara baginda, Almarhum Datuk Seri Dr Tengku Baderul Zaman Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, sebagai penghormatan terakhir selepas istiadat pemakaman di Makam Diraja Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, hari ini. Menurut kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Mohd Sophian Abu Bakar, Almarhum yang merupakan adinda kepada Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin mangkat pada 1.20 pagi tadi di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur.

Jenazah Adinda Sultan Terengganu Selamat Dimakamkan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA TERENGGANU: Jenazah adinda kepada Sultan Terengganu, Datuk Seri Dr Tengku Baderul Zaman Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah selamat dimakamkan di Makam Diraja Masjid Al-Muktafi Billah Shah, di sini hari ini.

Istiadat pemakaman Almarhum Tengku Baderul Zaman yang mangkat pada usia 52 tahun disempurnakan pada 6.10 petang.

Pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke istiadat pemakaman yang berlangsung dengan penuh penghormatan.

Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama paduka-paduka anakanda sebagai tanda menzahirkan simpati dan sokongan kepada kerabat Diraja Terengganu.

Hadir sama Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu Datuk Mohd Nor Hamzah bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Terdahulu, jenazah Almarhum Tengku Baderul Zaman tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Nerus pada 1.20 tengah hari tadi menggunakan pesawat khas, sebelum dibawa ke Balai Islam, Istana Syarqiyyah di sini pada 2 petang bagi membolehkan penghormatan terakhir diberikan.

Selepas selesai disolatkan di Balai Islam, Istana Syarqiyyah, jenazah Almarhum dibawa ke Makam Diraja Masjid Al-Muktafi Billah Shah dan tiba pada 5.03 petang.

Mufti Terengganu Prof Dr Syed Hadzrullathfi Syed Omar menyempurnakan bacaan Yasin diikuti tahlil dan doa selamat. 

Tengku Baderul Zaman mangkat pada 1.20 pagi tadi di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur.

Almarhum meninggalkan balu Toh Puan Seri Wan Hidayah Wan Ismail dan tiga orang anak.

 — BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU