KUCHING: Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Seri Aaron Ago Dagang enggan mendedahkan jumlah kerusi bakal ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13, sebaliknya menyerahkan keputusan berkenaan kepada pucuk pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Menteri Perpaduan Negara merangkap Ahli Parlimen Kanowit berkata, keputusan tersebut terserah kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selaku pemimpin GPS.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen Rukun Tetangga Peringkat Negeri Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen Penview (PCC), Demak, di sini, hari ini.
Mengulas kemungkinan mesyuarat parti diadakan bagi membincangkan persiapan PRN-13, Aaron berkata, perbincangan mungkin berlangsung selepas ini, namun beliau tidak mengetahui tarikh mesyuarat berkenaan.
Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Aaron menegaskan PRS tidak terlibat dalam pilihan raya berkenaan.
Premier Sarawak sebelum ini mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan berkuat kuasa 26 Oktober 2026 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Pembubaran itu membuka laluan kepada PRN Sarawak Ke-13.




