ARTIKEL

Pembangunan infrastruktur perlu ikut keperluan penduduk – Johnny Pang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Pembangunan infrastruktur perlu dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan keperluan penduduk, disokong komunikasi berterusan antara pemimpin dan masyarakat bagi memastikan kemudahan disediakan menepati keperluan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, pendekatan turun padang dan interaksi secara langsung penting bagi mengenal pasti isu setempat, termasuk keperluan menaik taraf kemudahan awam dan prasarana kampung.

Katanya, beberapa projek pembangunan dilaksanakan di Kampung Assyakirin Fasa 2 menerusi peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) sejak beliau menjadi wakil rakyat kawasan berkenaan.

Sebanyak RM140,000 diperuntukkan pada 2022 untuk membina pagar baharu, diikuti RM200,000 pada 2023 untuk menaik taraf balai raya kampung bagi menyediakan ruang aktiviti lebih selesa kepada penduduk.

Pada 2026, peruntukan turut disediakan bagi pembinaan pintu masuk baharu ke kampung berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Santai Petang Bersama YB Johnny Pang di Kampung Assyakirin Fasa 2, di sini, pada Sabtu.

Program kemasyarakatan dalam suasana santai turut memberi ruang kepada penduduk berinteraksi, mengeratkan hubungan kejiranan dan menyampaikan pandangan secara langsung kepada wakil rakyat.

Katanya, kesibukan bekerja dan mengurus keluarga mengehadkan masa penduduk berinteraksi dengan jiran, justeru program seumpama itu penting bagi mengeratkan hubungan kejiranan dan memupuk semangat kebersamaan dalam komuniti.

Beliau turut menggalakkan penduduk menyalurkan maklum balas mengenai kemudahan jalan raya, sistem saliran dan keperluan komuniti lain kepada pusat khidmatnya untuk diteliti dan diambil tindakan sewajarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Johnny berkata penduduk perlu mendapatkan maklumat tepat mengenai bantuan disediakan Kerajaan Sarawak supaya mereka yang memenuhi syarat kelayakan dapat memanfaatkannya.

Masih terdapat orang ramai yang kurang jelas mengenai syarat kelayakan, prosedur permohonan dan maklumat berkaitan bantuan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan penduduk mendapatkan khidmat nasihat daripada pusat khidmatnya bagi menyemak maklumat, mengetahui syarat kelayakan dan memahami prosedur permohonan.

BERITA LAIN

RM1.146 juta geran MRP untuk 82 penerima di Satok

KUCHING: Sebanyak RM1.146 juta disalurkan kepada 82 penerima menerusi baki geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) 2026 bagi menyokong keperluan pendidikan, rumah ibadat, persatuan dan

BERITA TERBARU