NAGOYA (Jepun): Sukan Para Asia Aichi-Nagoya bakal melabuhkan tirainya pada Sabtu, dengan penganjur berharap temasya sukan peringkat benua itu akan meninggalkan legasi berkekalan serta membantu membentuk masyarakat yang lebih inklusif, lapor Kyodo News.
Menurut jawatankuasa penganjur, kira-kira 4,000 atlet dan pegawai dari 45 negara dan wilayah, jumlah penyertaan tertinggi pernah dicatatkan, mengambil bahagian dalam 18 jenis sukan pada edisi kelima temasya itu, termasuk boccia yang tidak dipertandingkan dalam Sukan Olimpik.
China mendahului kedudukan pingat dengan 435 pingat, termasuk 207 emas, manakala tuan rumah Jepun mengekori di tempat kedua dengan 186 pingat, termasuk rekod Sukan Para Asia iaitu 64 emas.
Berbeza dengan Sukan Asia apabila Korea Selatan menduduki tempat ketiga, Uzbekistan muncul sebagai kuasa besar di Sukan Para Asia apabila menduduki tempat ketiga dalam kedudukan pingat dengan 145 pingat, termasuk 45 emas.
Antara sorotan terbesar Sukan Para Asia ialah jaguh tempatan dan pemain tenis kerusi roda no. 1 dunia Tokito Oda, yang memenangi pingat emas perseorangan lelaki pada Jumaat sekali gus menjadi atlet Jepun pertama mengesahkan tempat ke Sukan Paralimpik Los Angeles 2028.
Berbanding Sukan Paralimpik Tokyo pada 2021 yang diadakan tanpa penonton berikutan pandemik COVID-19, Sukan Para Asia terbaharu ini menarik kehadiran penonton, walaupun jumlah kehadiran berbeza dengan ketara mengikut acara sukan.
Para atlet menyuarakan rasa terima kasih atas sokongan daripada penonton, termasuk kanak-kanak yang menghadiri temasya itu menerusi program sekolah.
Pada sidang media awal Sabtu, Katsuya Hashimoto, ahli pasukan ragbi kerusi roda Jepun yang memenangi pingat perak berkata, “Sorakan kanak-kanak begitu bersemangat dan benar-benar memberikan dorongan kepada kami.”
Datuk Bandar Nagoya Ichiro Hirosawa berharap peluang menyaksikan atlet para beraksi dapat memberi inspirasi kepada kanak-kanak untuk membantu membentuk masyarakat yang lebih inklusif.
“Saya berharap Sukan Para Asia akan menjadi pemangkin perubahan, mendorong masyarakat melihat isu ketidakupayaan sebagai sesuatu yang dekat dengan kehidupan mereka serta memikirkan apa yang boleh dilakukan oleh setiap individu,” kata Hirosawa yang juga pemangku presiden jawatankuasa penganjur.
Pada hari terakhir pertandingan, Jepun menewaskan Singapura 4-2 dalam perlawanan akhir berpasangan campuran boccia BC3 bagi atlet yang mengalami kurang upaya fizikal teruk, memenangi pingat emas pertamanya dalam acara sukan itu.
Sementara itu, beberapa masalah pengurusan masih berlaku sepanjang temasya berkenaan, selepas beberapa isu turut menjejaskan penganjuran Sukan Asia sebelum ini.
Lagu kebangsaan yang salah telah dimainkan pada tiga acara, menurut penganjur.
Sukan Para Asia empat tahun sekali itu dijadualkan berlangsung di Doha pada 2030.
— BERNAMA-KYODO





