ARTIKEL

Fatimah Abdullah

Rakyat perlu beri mandat jelas, teruskan agenda Utamakan Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak membuka ruang kepada rakyat untuk menentukan kepimpinan negeri bagi penggal baharu, dan mandat yang jelas diperlukan supaya agenda pembangunan dapat diteruskan.

Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Sri Fatimah Abdullah berkata, proses demokrasi itu perlu dihormati dan dilaksanakan dalam suasana aman, matang serta harmoni.

“Pada pandangan saya, rakyat perlu menunaikan tanggungjawab dengan memberikan mandat yang jelas bagi membolehkan sebuah kerajaan dibentuk untuk meneruskan prinsip dan agenda Utamakan Sarawak, di samping memastikan Sarawak terus maju dan makmur,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.

Fatimah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti berkata, persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-13 (PRN-13) Sarawak bukan sekadar berkisar tentang strategi politik.

Sebaliknya, katanya, setiap calon yang dipilih perlu terus mendekati rakyat, mendengar pandangan mereka serta memahami keperluan dan masalah yang dihadapi di kawasan masing-masing.

“Antara perkara yang perlu diberikan perhatian ialah pembangunan, kemudahan asas, ekonomi, pendidikan, kemudahan bagi aktiviti keagamaan serta kebajikan masyarakat secara menyeluruh.

“Saya percaya persiapan menghadapi pilihan raya bukan sekadar berkaitan strategi politik, tetapi turut melibatkan sejauh mana kita memahami harapan rakyat serta kesungguhan untuk berkhidmat kepada mereka,” ujarnya.

Mengulas harapannya terhadap PRN-13, beliau berkata beliau mahu proses itu berlangsung dengan lancar, aman dan adil, selain menggesa rakyat keluar mengundi serta membuat pilihan berdasarkan pertimbangan yang matang dan bijaksana.

“Saya berharap semua pihak, termasuk calon, parti politik dan penyokong, dapat berkempen secara sihat dengan mengetengahkan idea, dasar serta penyelesaian terhadap isu-isu rakyat, bukannya menyebarkan fitnah atau mencetuskan perpecahan,” katanya.

Menurutnya, mandat yang diberikan rakyat nanti perlu digunakan dengan penuh tanggungjawab bagi memperkukuh pembangunan serta usaha memajukan Sarawak menjelang 2030.

“Pada masa sama, kesejahteraan masyarakat, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar perlu terus diberikan perhatian.

“Yang paling utama, perpaduan, kestabilan dan masa depan Sarawak hendaklah sentiasa diutamakan,” tambahnya.

DUN Sarawak akan dibubarkan berkuat kuasa 26 Oktober 2026 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, sekali gus membuka laluan kepada PRN-13.

Mengikut Perlembagaan Negeri Sarawak, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran, manakala Suruhanjaya Pilihan Raya akan menetapkan tarikh penting termasuk penamaan calon, pengundian awal dan hari mengundi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU