KUCHING: Masalah kecederaan beberapa tonggak utama menjadi kebimbangan Kuching City FC menjelang dua pertemuan penting menentang Gangwon FC dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2), bermula di Korea Selatan pada Khamis ini.
Ketua Jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak berkata tahap kecergasan Joao Pedro dan beberapa pemain lain masih belum mencapai tahap optimum, manakala Safawi Rasid pula cedera otot hamstring ketika aksi separuh akhir pertama Piala FA menentang Selangor FC malam tadi.

Menurutnya, perkembangan itu memerlukan pemantauan rapi pasukan perubatan sementara skuad The Cats bersiap menghadapi Gangwon di Stadium Gangneung, Korea Selatan, pada 29 Oktober ini, sebelum menyambut kunjungan kelab berkenaan di Kuching pada 5 November depan.
“Kita mempunyai beberapa pemain yang mengalami kecederaan, termasuk Joao Pedro dan beberapa yang lain, dengan peluang mereka untuk beraksi masih belum dapat dipastikan sepenuhnya.
“Bagaimanapun, mereka tetap mahu bermain dan memberikan sumbangan kepada pasukan. Saya berharap kecederaan Safari menjadi satu-satunya masalah utama selepas perlawanan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Kuching City tewas 1-2 kepada Selangor FC dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA 2026-2027 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.
Aidil berharap sesi pemulihan pemain selepas perlawanan itu tidak mendedahkan sebarang kecederaan baharu, sekali gus membolehkannya menyediakan barisan terbaik bagi menghadapi cabaran wakil Korea Selatan berkenaan.
“Selepas sesi pemulihan, kita berharap tiada lagi pemain yang mengalami kecederaan baharu dan lebih ramai pemain mempunyai peluang untuk diturunkan menentang pasukan Korea Selatan itu,” katanya.
Mengulas jadual pertandingan yang semakin padat, Aidil menegaskan beliau tidak mahu menjadikan kekangan masa rehat dan perjalanan sebagai alasan jika Kuching City gagal memperoleh keputusan yang diharapkan.
“Saya tidak mahu memberikan alasan kerana akhirnya perkara itu yang akan dipetik. Kita menghormati apa juga jadual yang ditetapkan dan akan berusaha memberikan yang terbaik.
“Paling penting, saya tidak mahu pemain terjejas dengan komen negatif sehingga menjejaskan semangat mereka. Kita perlu terus positif kerana mereka bukan sahaja mewakili Kuching atau Sarawak, tetapi juga membawa nama Malaysia,” tegasnya.
Pertemuan menentang Gangwon itu menjadi cabaran penting buat The Cats yang masih memburu kemenangan pertama dalam Kumpulan H selepas tewas 1-2 kepada Phnom Penh Crown dan seri 1-1 menentang Kitchee SC dalam dua perlawanan terdahulu.
Kuching City dijadual bertemu Gangwon pada 29 Oktober, pada jam 6 petang waktu Malaysia, sebelum pertemuan kedua pada 5 November, pada jam 8.15 malam di Stadium Taha Ariffin, sekali gus menguji kemampuan skuad The Cats mengekalkan kecergasan dan daya saing di pentas Asia.






