ARTIKEL

Dr Ammar Redza Ahmad Rizal.

Ekonomi, kerja dan pendidikan isu utama PRN Sarawak – Penganalisis

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kemampanan ekonomi, peluang pekerjaan dan pendidikan dijangka menjadi antara isu utama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, ketika rakyat menilai hala tuju pembangunan negeri serta peluang untuk masa depan mereka.

Penganalisis politik, Dr Ammar Redza Ahmad Rizal berkata, perbincangan menjelang pilihan raya itu dijangka tertumpu kepada ketiga-tiga aspek tersebut tanpa mana-mana satu isu mendominasi perhatian rakyat.

“Saya rasa tiada faktor yang paling utama. Perbincangan pasti akan berkisar mengenai kemampanan ekonomi Sarawak, peluang pekerjaan dan juga peluang pendidikan,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak hari ini.

Mengulas perkembangan politik semasa, beliau menyifatkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak selepas pembentangan belanjawan negeri sebagai keputusan yang dibuat pada masa yang sesuai.

Menurutnya, langkah itu turut membuka ruang kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk mendapatkan mandat baharu, sekali gus mengekalkan kedudukan yang kukuh di Sarawak.

Beliau berpandangan penguasaan yang kukuh penting bagi memberikan kelebihan kepada kerajaan negeri dalam rundingan dengan Kerajaan Persekutuan, khususnya berkaitan hak dan kepentingan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Dalam konteks itu, Ammar berkata, pengundi juga dijangka mengambil kira sejauh mana kedudukan kerajaan negeri yang kukuh mampu memperkasakan suara Sarawak dalam perbincangan di peringkat Persekutuan.

Menyentuh sokongan politik pula, beliau berkata, setakat ini belum ada perubahan ketara dalam sokongan rakyat terhadap GPS, manakala kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg masih menjadi antara faktor kekuatan gabungan tersebut.

Pada masa yang sama, beliau berpandangan pembangkang belum memperlihatkan keupayaan untuk memberikan saingan hebat kepada GPS, malah tidak menolak kemungkinan corak keputusan PRN 2021 berulang pada pilihan raya kali ini.

Bagaimanapun, Ammar berharap GPS mengetengahkan lebih ramai calon muda bagi memastikan gabungan itu terus relevan dalam kalangan pengundi generasi baharu, seiring dengan perubahan demografi dan keperluan masa depan Sarawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU