KUCHING: Sebanyak RM1.146 juta disalurkan kepada 82 penerima menerusi baki geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) 2026 bagi menyokong keperluan pendidikan, rumah ibadat, persatuan dan badan kebajikan di kawasan Satok.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki berkata, antara penerima ialah Sekolah Merpati Jepang yang menerima RM100,000 bagi kerja penambahbaikan kemudahan sekolah, termasuk bilik darjah dan kelengkapan berkaitan.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan geran MRP kepada penerima di Pusat Khidmat ADUN Satok di sini.

Sekolah Chung Hua No. 4 turut menerima RM60,000 bagi membantu persiapan menganjurkan Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dwitahunan.
Peruntukan awal itu membolehkan pihak sekolah merancang persiapan dan mendapatkan kelengkapan yang diperlukan bagi memastikan kelancaran penganjuran karnival berkenaan.
Peruntukan MRP berkenaan bertujuan membantu organisasi komuniti memenuhi keperluan masing-masing, meningkatkan kemudahan serta melaksanakan program berdasarkan tujuan pemberian geran.
Agihan kali ini merangkumi 82 penerima daripada pelbagai sektor masyarakat, termasuk institusi pendidikan, organisasi keagamaan dan pertubuhan setempat.
Penyaluran baki geran itu dilaksanakan menjelang pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, sekali gus menjadi antara agihan terakhir kepada institusi dan pertubuhan di Satok bagi penggal semasa.
/tamat/





