ARTIKEL

Pusat digital baharu buka peluang usahawan muda Satok

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pusat Satok Startup & Digital Centre bernilai lebih RM2 juta bakal dilancarkan bagi menyediakan ruang kepada golongan belia mengembangkan perniagaan dan idea, sekali gus menjadi antara inisiatif pembangunan di kawasan Satok.

Kemudahan itu boleh dimanfaatkan belia menjalankan aktiviti perniagaan, menggunakan ruang pejabat dan mengadakan mesyuarat.

“Alhamdulillah, bangunan itu sudah siap dan akan dilancarkan dalam masa terdekat,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pusat Khidmat ADUN Satok di sini.

Pembangunan pusat berkenaan merupakan antara usaha sepanjang lima tahun berkhidmat, selain memberi tumpuan kepada pendidikan, infrastruktur kampung, perumahan dan kebajikan penduduk.

Satok Startup & Digital Centre yang bakal dirasmikan.

Dalam bidang pendidikan katanya, pelbagai program dilaksanakan bagi membantu murid yang ketinggalan dalam pembelajaran serta mendedahkan mereka kepada bidang sains dan teknologi.

“Ketika pandemik COVID-19, terdapat lebih 100 murid yang belum menguasai kemahiran membaca dan menulis kerana tidak dapat mengikuti pembelajaran dengan baik.

“Kita mengadakan kursus selama enam bulan dan alhamdulillah, mereka kini sudah boleh membaca, malah ada yang berjaya menyertai pertandingan,” katanya.

Program pendidikan di Satok merangkumi kelas tuisyen, kursus kecerdasan buatan (AI) dan Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), termasuk pendedahan kepada teknologi pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), tenaga hidro, tenaga boleh baharu serta kredit karbon.

Selain itu, bantuan RM1,500 disediakan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke kolej atau universiti bagi membantu menampung persediaan awal, termasuk kos perjalanan dan pembelian peralatan pengajian.

Dalam pembangunan kampung, Ibrahim berkata, pembinaan dewan masyarakat dan penambahbaikan surau dilaksanakan bagi memenuhi keperluan penduduk, selain projek Skim Pembesaran Kampung (SPK) di Segedup yang dimulakan dengan pembinaan 136 unit rumah.

Kebajikan penduduk turut diberi perhatian, termasuk mengenal pasti mereka yang sakit dan memerlukan bantuan di kampung serta kawasan sekitar.

“Banyak perkara yang dirancang lima tahun lalu sudah membuahkan hasil, terutama dari segi infrastruktur dan pendidikan.

“Kita bukan sahaja melaksanakan inisiatif kerajaan, malah menambah program di peringkat Satok untuk membantu masyarakat,” katanya.

/tamat/

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Lepasan SPM digalak teroka bidang TVET

MIRI: Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) digalakkan meneroka bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi merebut peluang pekerjaan dalam sektor ekonomi baharu Sarawak