ARTIKEL

Lepasan SPM digalak teroka bidang TVET

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) digalakkan meneroka bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi merebut peluang pekerjaan dalam sektor ekonomi baharu Sarawak yang memerlukan tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Sri Lee Kim Shin berkata, perkembangan industri seperti kejuruteraan, teknologi digital, penerbangan dan tenaga hijau membuka pelbagai laluan kerjaya kepada golongan muda, selain pendidikan akademik.

Lee menyempurnakan Majlis Graduasi Tingkatan 5 SMK Pujut di Miri, hari ini.

Beliau menggesa pelajar mengenal pasti minat dan kebolehan masing-masing sebelum memilih bidang pengajian atau latihan selepas SPM agar kemahiran diperoleh selari dengan keperluan pasaran kerja.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu berkata demikian pada Majlis Graduasi Tingkatan 5 2026 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pujut bertemakan Melakar Impian, Melakar Kecemerlangan, di sini, hari ini.

Kerajaan Sarawak turut menyediakan pelbagai inisiatif sokongan pendidikan tinggi, termasuk bantuan kepada pelajar yang layak bagi memperluas peluang anak tempatan melanjutkan pengajian.

Beliau mengingatkan pelajar dan ibu bapa supaya mendapatkan maklumat mengenai biasiswa, bantuan pendidikan dan program latihan yang ditawarkan agar kekangan kewangan tidak menjadi penghalang untuk meneruskan pengajian.

Beliau turut menekankan kepentingan disiplin, kejujuran, sikap bertanggungjawab dan kesediaan menambah ilmu sebagai bekalan untuk menghadapi alam pengajian tinggi serta pekerjaan.

Mengulas kemudahan di SMK Pujut, Lee berkata, kawasan parkir baharu yang menyediakan 160 petak kereta dan 40 petak motosikal dirasmikan pada Mac lalu bagi mengurangkan kesesakan ketika waktu menghantar dan mengambil pelajar.

Penambahbaikan akses dan kemudahan sekolah penting untuk meningkatkan keselamatan serta keselesaan warga sekolah, sekali gus menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.

Majlis itu diadakan bagi meraikan pelajar Tingkatan 5 yang menamatkan persekolahan, selain memupuk budaya mencintai ilmu dan menggalakkan mereka meneruskan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU