ARTIKEL

Op Lusuh Khas periksa 84 premis seluruh Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Op Lusuh Khas 2/2026 yang dijalankan di seluruh Sarawak dari 20 hingga 23 Oktober lalu membawa kepada penahanan 13 individu dan 22 rampasan hasil pemeriksaan terhadap 84 premis barangan lusuh.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak berkata, operasi itu dilaksanakan bagi memastikan premis yang menjalankan aktiviti berkaitan barangan lusuh mematuhi syarat dan peraturan berkuat kuasa.

Menurutnya, seramai 470 pegawai dan anggota dengan penglibatan 20 jabatan atau agensi terbabit dalam operasi yang turut menyaksikan pemeriksaan terhadap 147 individu.

“Daripada 84 premis yang diperiksa, sebanyak 80 premis berlesen manakala empat lagi tidak berlesen,” katanya dalam kenyataan.

Antara barangan yang dirampas ialah kabel tembaga seberat 52 kilogram, dengan anggaran nilai pasaran RM2,444 berdasarkan harga RM47 sekilogram.

Sehubungan itu, Saifullizan menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli atau menjual barangan yang diperoleh secara tidak sah bagi membendung kegiatan penjualan barangan curi.

Beliau menggesa orang ramai menyimpan dokumen atau bukti urus niaga serta menyalurkan maklumat mengenai aktiviti mencurigakan kepada polis atau balai polis berhampiran.

Pemilik dan pengusaha premis barangan lusuh pula diingatkan supaya memastikan lesen serta kelulusan berkaitan sentiasa sah, selain menyimpan rekod urus niaga dan dokumen sumber barangan secara teratur.

“Sebarang tawaran barangan yang meragukan hendaklah ditolak dan dilaporkan kepada polis. Pengusaha premis juga perlu memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa ketika pemeriksaan dijalankan,” katanya.

Saifullizan berkata, PDRM Sarawak akan meneruskan pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mencegah penjualan barangan curi, dengan kerjasama masyarakat dan pengusaha premis penting dalam menjaga keselamatan komuniti.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Miri bakal ada zon bebas ekonomi

MIRI: Cadangan mewujudkan sebuah zon bebas bagi menarik pelaburan luar dan memperluas kegiatan perindustrian di Miri mendapat kelulusan secara prinsip. Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Sri