MIRI: Cadangan mewujudkan sebuah zon bebas bagi menarik pelaburan luar dan memperluas kegiatan perindustrian di Miri mendapat kelulusan secara prinsip.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Sri Lee Kim Shin berkata pembangunan zon berkenaan dijangka membuka peluang kepada pelabur luar untuk mendirikan kilang sekali gus merancakkan kegiatan ekonomi di bandar raya itu.
Menurutnya, usaha itu antara perancangan pembangunan yang ingin direalisasikan bagi memastikan Miri terus berkembang dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Kita sudah mendapat kelulusan secara prinsip untuk mewujudkan sebuah ‘Free Economic Zone’, supaya pelabur dari luar boleh masuk dan membina kilang,” katanya ketika menyampaikan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin kepada 57 penerima di pusat khidmatnya, di sini, hari ini.
Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berkata pembangunan sektor perindustrian turut menjadi antara tumpuan susulan usaha menaik taraf Pelabuhan Miri.

Katanya, apabila pembangunan pelabuhan itu siap kelak, kawasan perindustrian di Kuala Baram dijangka berkembang dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, khususnya kepada golongan muda.
Beliau berkata usaha membangunkan Pelabuhan Miri sudah lama diperjuangkan bagi meningkatkan kemudahan pengangkutan laut dan menangani kos logistik yang tinggi di bandar raya itu.

Sebelum ini, Kerajaan Sarawak dilaporkan merancang membangunkan zon bebas di kawasan Pelabuhan Miri sebagai antara usaha memperkukuh kegiatan perdagangan, perindustrian dan pelaburan di utara negeri ini.
Pada September lalu, kerajaan negeri turut dilaporkan menyediakan tanah di kawasan Pelabuhan Miri bagi cadangan pembangunan zon bebas serta kemudahan sokongan industri minyak dan gas.
Dalam pada itu, Lee berkata tempoh lima tahun akan datang amat penting bagi memastikan beberapa projek pembangunan utama yang diperjuangkannya dapat direalisasikan.

“Selain pembangunan pelabuhan dan kawasan perindustrian, saya turut memberi perhatian terhadap pembesaran Lapangan Terbang Miri serta pembinaan rangkaian jalan raya yang menghubungkan Miri dengan Marudi dan kawasan pedalaman.
“Pelaksanaan projek berkenaan diharap dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kemudahan perhubungan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk Miri,” katanya.



