LIMBANG: Kementerian Digital menerusi Program Kampung Angkat MADANI (KAM) dan Sekolah Angkat MADANI (SAM) menyalurkan peruntukan RM700,000 bagi meningkatkan kemudahan komuniti serta memperluas akses teknologi digital di sini.
Inisiatif itu dilaksanakan di Kampung Belimbing Melugus dan Sekolah Kebangsaan (SK) St. Edmund, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk setempat serta warga sekolah menerusi penyediaan prasarana dan kemudahan teknologi yang lebih baik.
Majlis penyerahan program disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar, di SK St. Edmund, hari ini, dan disaksikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah.
Di bawah Program KAM, Kampung Belimbing Melugus menerima kemudahan lampu solar LED, peralatan sokongan untuk kegunaan kampung dan kelengkapan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang memberi manfaat kepada 29 isi rumah.
Kemudahan ICT turut diperluaskan kepada murid SK Ukong bagi membantu meningkatkan akses mereka terhadap teknologi digital.
Sebahagian peruntukan berkenaan turut digunakan untuk menyokong institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tempatan melaksanakan kerja pemasangan peralatan elektrik di Kampung Belimbing Melugus, sekali gus membuka ruang penglibatan institusi berkenaan dalam pembangunan kemudahan masyarakat.
Sementara itu, pelaksanaan Program SAM di SK St. Edmund oleh Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Kementerian Digital merangkumi pemasangan skrin LED di dewan, penyediaan papan pintar serta pemasangan titik capaian tanpa wayar bagi memperkukuh kemudahan pembelajaran berasaskan teknologi.
Program Jelajah Digital yang berlangsung serentak dengan majlis penyerahan itu turut menyediakan pelbagai aktiviti pendidikan teknologi, termasuk pendedahan kecerdasan buatan (AI), literasi digital, keselamatan siber dan langkah mengelak penipuan dalam talian.
Pengisian berkenaan menyasarkan murid sekolah serta komuniti setempat, khususnya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Penganjuran sempena Hari Terbuka SK St. Edmund itu turut disemarakkan dengan Jualan RAHMAH MADANI yang menawarkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan kepada penduduk Limbang.
Pelaksanaan keseluruhan inisiatif berkenaan mencerminkan usaha Kerajaan MADANI memperluas manfaat pendigitalan dan memperkukuh kemudahan pendidikan serta komuniti luar bandar, selain menyokong aspirasi Malaysia menuju Negara AI 2030.




