KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia berpeluang menikmati percutian domestik dengan kos lebih rendah menerusi tawaran rebat penerbangan sehingga RM200 oleh Batik Air, selain pembukaan laluan baharu ke Miri dan Sibu bermula 1 Disember ini.
Inisiatif bersama Tourism Malaysia itu dilaksanakan menerusi kempen Cuti-Cuti Malaysia bagi menyokong Visit Malaysia 2026–2027 (VM2026–2027), sekali gus menggalakkan lebih ramai rakyat meneroka destinasi pelancongan tempatan.
Pengarah Jeneral Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, kerjasama berkenaan tepat pada masanya bagi mengekalkan momentum sektor pelancongan domestik yang mencatat perbelanjaan RM66.8 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
“Penambahan laluan dan pemberian rebat penerbangan mampu membuka peluang kepada destinasi tempatan menerima manfaat perbelanjaan pelancong, termasuk kawasan yang kurang dikenali serta lokasi pelancongan baharu.
“Batik Air akan memulakan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang ke Miri dan Sibu pada 1 Disember 2026, dengan setiap laluan beroperasi tiga kali seminggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perkhidmatan itu melengkapkan penerbangan sedia ada dari Subang ke Kuching dan Kota Kinabalu, selain rangkaian dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Bintulu, Tawau, Kuching dan Kota Kinabalu.
Pelancong berpeluang meneroka pelbagai tarikan di Sabah dan Sarawak, termasuk Taman Negara Niah di Miri, selain menikmati keunikan makanan, warisan dan kehidupan masyarakat di Sibu serta destinasi lain di Borneo.
Malaysia merekodkan 151.6 juta ketibaan pelawat domestik bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, meningkat 5.6 peratus berbanding 143.5 juta dalam tempoh sama tahun lalu, manakala perbelanjaan pelancongan domestik melonjak 14 peratus kepada RM66.8 bilion daripada RM58.6 bilion.
Rebat segera sehingga RM200 itu ditawarkan kepada 1,000 penumpang pertama yang membuat tempahan menggunakan kod promosi BATIKCCMY sebelum 30 November 2026, bagi tambang Economy Class Value, Flexi dan Business Class untuk perjalanan antara 2 Januari hingga 30 Jun tahun depan, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.





