ARTIKEL

Empangan melata dikaji manfaat aliran sungai Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIBU: Sarawak berusaha meningkatkan kesedaran mengenai potensi pembangunan empangan melata sebagai pendekatan memanfaatkan aliran sungai untuk menjana tenaga boleh diperbaharui serta meneroka kaedah mengurus konflik manusia dan buaya.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penggunaan teknologi kejuruteraan moden membolehkan konsep empangan melata dikaji bagi memaksimumkan potensi sungai di negeri ini.

Menurutnya, teknologi simulasi tiga dimensi, termasuk Building Information Modelling (BIM), boleh digunakan untuk menilai aliran air, operasi sistem empangan serta kemungkinan mengekalkan laluan perahu bagi kegunaan masyarakat.

“Perkara ini yang mahu kita usahakan. Saya cuba mewujudkan kesedaran tentang bagaimana empangan melata berfungsi dan bagaimana laluan perahu boleh dikekalkan.

“Dengan teknologi kejuruteraan tiga dimensi, kita boleh membuat simulasi aliran air sebelum memanfaatkannya sebagai sumber tenaga kerana Sarawak mempunyai banyak sungai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 2, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian dan tetamu kehormat lain.

Selain itu, Abang Johari berkata, konsep berkenaan turut wajar dikaji dari sudut pengurusan hidupan liar, khususnya bagi menangani kebimbangan terhadap peningkatan konflik antara manusia dan buaya di sesetengah sungai di Sarawak.

Tambahnya, perubahan corak pengangkutan susulan pembinaan jalan raya, termasuk laluan Sibu-Kapit, menyebabkan kebergantungan kepada pengangkutan sungai berkurangan dan keadaan itu perlu diteliti dari sudut perubahan habitat hidupan liar.

Beliau berpandangan bahawa aliran air yang lebih aktif berpotensi mempengaruhi pergerakan buaya, namun keberkesanan pendekatan itu dalam mengawal populasi buaya perlu dikaji secara saintifik.

Katanya, Sarawak juga melihat keperluan mempelajari pengalaman negara lain, termasuk Australia, bagi mendapatkan pengetahuan berkaitan pengurusan buaya dan mengurangkan risiko kepada masyarakat yang tinggal berhampiran sungai.

Justeru, Abang Johari menegaskan cadangan empangan melata memerlukan kajian teknikal serta penilaian alam sekitar yang menyeluruh bagi memastikan potensi penjanaan tenaga dapat dimanfaatkan tanpa menjejaskan ekosistem sungai, laluan pengangkutan air dan keselamatan penduduk.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU