KUALA LUMPUR: Bedah siasat terhadap seorang lelaki yang meninggal dunia dalam tahanan polis tidak menemui kecederaan pada organ dalamannya, tetapi mendapati beberapa kecederaan luaran.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Aida Abdul Hamid, menyatakan punca kematian masih menunggu keputusan analisis makmal.
Lelaki berusia 42 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada 19 Sept bagi siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Kanun Keseksaan.
Dia dirujuk ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) pada 30 Sept dan disahkan meninggal dunia pada 1.52 pagi keesokan harinya.
Kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, manakala Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) telah merakam percakapan 78 saksi serta merujuknya kepada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) seperti dilapor Bernama.





