BATU PAHAT: Seorang remaja berusia 16 tahun maut manakala lima individu lain cedera apabila kereta yang mereka naiki terbabas dan melanggar pokok di Simpang Lima malam tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat, PBK I Zulmazi Ariffin, menjelaskan pihaknya menerima panggilan pada 10.16 malam lalu menghantar 13 anggota bersama dua unit EMRS dan satu unit jentera FRT.
Menurut beliau, remaja bernama Putera Muhaimin Qudrat Mohd Noor Wandi disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala lima mangsa lain dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Dalam pada itu, polis Johor mengesahkan kemalangan berlaku di Kilometer 140, Jalan Johor Bahru-Melaka, berhampiran Bagan, kira-kira 10.30 malam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, memaklumkan lima mangsa yang cedera dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.





