KUCHING: Sejarah perjalanan generasi awal masyarakat Chawan merentasi Laut China Selatan ketika berhijrah ke Sarawak lebih seabad lalu berpotensi ditelusuri menerusi penyelidikan dengan sokongan dana daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.
Masyarakat Chawan ialah salah satu kelompok masyarakat Cina yang berasal daripada daerah Zhao’an di wilayah Fujian, China, serta mempunyai dialek dan warisan budaya tersendiri.
Menterinya, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata kementerian itu mempunyai dana bagi menyokong aktiviti penyelidikan dan bersedia meneliti usaha mendokumentasikan sejarah penghijrahan masyarakat berkenaan sebagai rujukan generasi akan datang.
Menurutnya, usaha itu penting bagi memastikan kisah perjuangan serta kesukaran yang ditempuh generasi terdahulu ketika meninggalkan tanah besar China untuk membina kehidupan baharu di Sarawak tidak luput ditelan zaman.
“Sejarah penghijrahan tersebut wajar dikaji dengan lebih mendalam, khususnya cabaran yang dihadapi sepanjang pelayaran merentasi Laut China Selatan sebelum tiba di negeri ini.
“Perjalanan pada zaman dahulu penuh dengan risiko, malah terdapat kemungkinan sebahagian penghijrah tidak berjaya tiba di destinasi yang dituju.
“Bayangkan kesukaran yang ditempuh nenek moyang mereka ketika datang ke tempat baharu. Ada yang mungkin tidak berjaya sampai ke sini, malah mungkin terkorban ketika merentasi Laut China Selatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Seminar Kebudayaan Rakyat Zhao An (Chawan) bersempena ulang tahun ke-90 Persatuan Chawan Sarawak di Hotel Imperial, di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata, mereka yang berjaya tiba di Sarawak turut berdepan pelbagai kesukaran sebelum membina kehidupan dan meletakkan asas kepada kemajuan generasi seterusnya.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan Persatuan Chawan Sarawak, khususnya golongan belia, supaya mengambil inisiatif mengumpul dan mendokumentasikan kisah serta pengalaman generasi terdahulu sebagai sebahagian daripada khazanah sejarah komuniti berkenaan.
Menurutnya, usaha pendokumentasian itu boleh dilaksanakan menerusi kerjasama dengan institusi berkaitan dan universiti bagi memperoleh gambaran lebih menyeluruh mengenai sejarah kedatangan serta perkembangan masyarakat Chawan di Sarawak.
“Kementerian mempunyai dana untuk membantu mereka yang ingin menjalankan penyelidikan. Kita boleh meneliti perkara ini kerana penyelidikan dan penerbitan buku serta dokumen sejarah memerlukan perbelanjaan,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Karim turut menekankan kepentingan memanfaatkan teknologi digital dan platform kreatif bagi mendokumentasikan serta memperkenalkan warisan masyarakat Chawan kepada khalayak yang lebih luas.
Katanya, perkembangan teknologi perlu dimanfaatkan secara positif bagi memastikan sejarah, adat resam dan kesenian tradisional terus dipelihara serta diwarisi generasi akan datang.





