KUCHING: Produk kraf amigurumi buatan tangan, Pusak Tembun, yang diinspirasikan oleh ikon kucing terkenal di bandar raya ini berjaya menembusi pasaran antarabangsa menerusi jualan di pameran di Filipina, Singapura dan Indonesia.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pencapaian itu membuktikan produk berteraskan identiti tempatan mampu menarik perhatian pasaran yang lebih luas sekiranya disokong oleh kualiti, kreativiti, promosi berkesan serta pemahaman terhadap kehendak pelanggan.

“Saya amat berbesar hati untuk berkongsi bahawa hasil ciptaan wanita dan belia berjaya menembusi pasaran antarabangsa menerusi jualan di pameran di Filipina, Singapura dan Indonesia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Pemerkasaan Wanita dan Belia Menerusi Kraf dan Seni Persembahan – WEAVE 2026 di Muzium Budaya Borneo (BCM) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menambah bahawa WEAVE 2026 menjadi contoh bagaimana usaha memperkasa wanita dan belia melalui pembangunan kemahiran serta kreativiti dapat diterjemahkan kepada tindakan yang memberikan impak bermakna.
Menurutnya, di bawah kepimpinan dan bimbingan Tokoh Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS), Nur Rahmah Ranong Abdullah, program itu berjaya menghimpunkan wanita dan golongan belia untuk meneroka peluang serta potensi dalam bidang kraf dan seni persembahan.
“Antara hasil yang membanggakan ialah penghasilan Pusak Tembun, iaitu kraf amigurumi buatan tangan yang diinspirasikan oleh ikon kucing terkenal Kuching.
“Apa yang bermula sebagai aktiviti latihan kemahiran ringkas kini berkembang menjadi sumber pendapatan mampan yang berpotensi kepada para peserta,” ujarnya.
Beliau memaklumkan, latihan berkenaan perlu disusuli dengan bimbingan berterusan, pembangunan produk, penjenamaan, promosi digital, literasi kewangan serta akses pasaran yang lebih luas.
“Hasrat kita ialah supaya para peserta bukan sahaja memperoleh kemahiran baharu, malah turut mempunyai laluan praktikal untuk memanfaatkan kemahiran tersebut, mengembangkan peluang dan memperkukuh sumber pendapatan mereka,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Nancy menambah bahawa pada edisi pertama Program PERANTIS pada 2024, seramai 1,247 peserta menerima bimbingan daripada 25 tokoh wanita terkemuka dalam 10 bidang, iaitu kepimpinan, politik, ekonomi, isu sosial, teknologi, undang-undang, keselamatan, kesejahteraan, pendidikan dan kesihatan.
“Pada 2025, program ini juga diperluas dengan peruntukan RM5 juta, melibatkan 100 pemimpin wanita dan memperkasa lebih 4,000 peserta.
“Alhamdulillah, tahun ini program PERANTIS terus diberikan keutamaan dengan peruntukan RM4 juta, membabitkan 3,883 peserta yang menerima bimbingan daripada 80 pemimpin wanita.
“Alhamdulillah, kita juga akan mencapai angka 10,000 peserta dalam tempoh sedikit melebihi tiga tahun,” tegasnya.





