ARTIKEL

Kim Pan Gon pada sidang media separuh akhir pertama Piala FA menentang Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi. Foto: Selangor FC

Kelebihan satu gol belum cukup – Kim Pan Gon

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Selangor FC perlu segera mengatasi kelemahan apabila berdepan serangan balas pantas jika mahu mempertahankan kelebihan satu gol ke atas Kuching City FC dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA 2026-2027 di Kuching, 8 November depan.

Ketua Jurulatih Selangor, Kim Pan Gon mengakui kelemahan itu masih membelenggu skuad Gergasi Merah walaupun berjaya menewaskan Kuching City 2-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.

Prestasi cemerlang – Eduardo Sosa (kanan) memborong dua jaringan penting buat Gergasi Merah sebelum terpaksa meninggalkan padang akibat kecederaan. Foto: Selangor FC

“Kita masih mempunyai tabiat buruk apabila terlalu mudah memberikan ruang kepada pihak lawan melakukan serangan balas. Perkara ini mesti diperbetulkan jika mahu menjadi pasukan yang lebih kuat.

“Kita sudah berusaha memperbaikinya dalam beberapa perlawanan sebelum ini, termasuk menerusi latihan minggu lalu, tetapi masalah sama masih berulang. Pemain perlu lebih kuat dari segi mental dan terus memberikan tumpuan sehingga wisel penamat,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Pada pertembungan itu, Selangor terlebih dahulu dikejutkan jaringan Ramadhan Saifullah Usman pada minit kesembilan sebelum Eduardo Sosa meledak dua gol untuk memastikan tuan rumah bangkit meraih kemenangan 2-1.

Kim menyifatkan kebangkitan itu sebagai bukti kesungguhan pemainnya yang berjaya mengatasi tekanan selepas ketinggalan, namun mengakui Selangor sepatutnya memanfaatkan lebih banyak peluang untuk memperoleh kelebihan yang lebih selesa.

“Kemenangan ini sangat penting sebelum kita beraksi di tempat lawan. Kita bolos terlebih dahulu tetapi berjaya bangkit, walaupun masih menerima tekanan sehingga minit terakhir.

“Kita sebenarnya mempunyai peluang untuk menang 3-1 atau 4-1, tetapi masih perlu meningkatkan kualiti penyudah. Bagaimanapun, saya bangga dengan komitmen pemain yang bekerja keras dan menunjukkan keinginan tinggi untuk menang,” katanya.

Mengulas peluang Selangor melangkah ke final, pengendali kelahiran Korea Selatan itu menegaskan kelebihan satu gol belum cukup untuk menjamin kemaraan, terutama apabila Kuching City bakal mendapat sokongan penyokong sendiri pada aksi timbal balik.

“Kita tahu betapa sukarnya bermain di Kuching. Mereka mempunyai penyokong yang kuat dan keadaan itu pasti memberikan cabaran besar kepada pasukan kita.

“Kita perlu membuat persiapan rapi, memperbaiki kelemahan serta meningkatkan kesungguhan pemain. Kita mahu ke final dan itu merupakan misi yang sangat penting buat Selangor,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kim berkata, tahap kecergasan Sosa perlu diperiksa selepas penyerang yang menjaringkan kedua-dua gol Selangor itu terpaksa dikeluarkan pada separuh masa kedua akibat masalah otot hamstring.

“Kita perlu melakukan pemeriksaan lanjut kerana kemungkinan dia mengalami kekejangan atau kecederaan hamstring. Dia bekerja sangat keras dan banyak membantu pasukan ketika menyerang serta bertahan. Saya berharap kecederaannya tidak serius,” katanya.

Kim turut menjelaskan bahawa tempoh sebelum perlawanan timbal balik akan dimanfaatkan untuk memulihkan kecergasan pemain, memperbaiki kelemahan taktikal dan membuat persiapan menghadapi saingan Liga Super, selain mengurangkan tekanan selepas mengharungi beberapa perlawanan penting.

Sementara itu, beliau mengesahkan kapten Selangor, Faisal Halim dijangka kembali beraksi dalam beberapa minggu lagi selepas diketepikan akibat kecederaan, sekali gus menambah kekuatan skuad Gergasi Merah dalam usaha memburu tiket final Piala FA.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU