ARTIKEL

Abang Johari dan Fadillah pada Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 bertemakan Sungai dan Nadi Dalam Komuniti Kita di Sibu, hari ini.

Fadillah harap sungai Sarawak jernih semula, boleh mandi seperti dahulu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIBU: Hasrat melihat sungai-sungai di Sarawak kembali jernih sehingga masyarakat boleh mandi dan menikmati hasil sungai seperti dahulu menjadi antara aspirasi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof dalam usaha memperkukuh pemeliharaan serta pemuliharaan sungai di negeri ini.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, pengalaman zaman kanak-kanaknya mandi di Batang Igan yang ketika itu kaya dengan sumber ikan menjadi kenangan yang ingin beliau lihat kembali dinikmati generasi akan datang.

“Kalau waktu kecil dahulu saya boleh mandi di Batang Igan yang mempunyai banyak ikan, saya berharap dengan segala tindakan yang kita ambil, air Batang Rajang akan kembali jernih dan kita boleh mandi lagi di sungai-sungai di Sarawak.

“Itulah harapan saya. Marilah kita bersama-sama berazam memelihara sungai supaya manfaatnya dapat dinikmati masyarakat dan generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 bertemakan Sungai dan Nadi Dalam Komuniti Kita yang dirasmikan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, pemilihan Sibu sebagai lokasi sambutan tahun ini dibuat berdasarkan kedudukannya di Lembangan Batang Rajang, iaitu lembangan sungai terbesar di Malaysia, selain Sarawak mempunyai rangkaian sungai yang luas.

Katanya, Sibu turut menjadi kawasan pertemuan beberapa sungai utama termasuk Batang Rajang, Batang Igan dan Batang Oya, sekali gus menjadikannya lokasi sesuai untuk memperkukuh kesedaran mengenai kepentingan pengurusan sungai secara menyeluruh.

“Saya memilih Sibu bukan kerana saya berasal dari sini, tetapi kerana Sarawak merupakan negeri yang mempunyai paling banyak sungai di Malaysia, manakala Batang Rajang merupakan sungai terpanjang negara.

“Di sinilah kita mahu memulakan langkah memperkukuh tindakan bersepadu bagi memastikan sungai terus dipelihara dan dipulihara.

“Jika kita berjaya memelihara sungai hari ini, manfaatnya bukan sahaja kepada alam sekitar dan generasi akan datang, malah dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak serta negara,” jelasnya.

Menurutnya, usaha memulihkan kebersihan dan kualiti air sungai memerlukan tindakan bersepadu kerajaan, komuniti setempat, pihak industri dan badan bukan kerajaan bagi memastikan sungai terus menjadi sumber kehidupan serta ekonomi masyarakat.

“Sungai bukan sekadar sumber bekalan air, malah menjadi laluan perhubungan, punca pendapatan, kawasan rekreasi serta penyumbang kepada kegiatan ekonomi masyarakat di sepanjang lembangannya.

“Usaha kecil seperti tidak membuang sampah ke dalam sungai dan melaporkan pencemaran boleh membawa perubahan besar apabila dilakukan secara bersama.

“Kita mahu masyarakat melihat sungai sebagai sebahagian daripada kehidupan yang perlu dijaga, bukan sekadar sumber yang digunakan,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, PETRA menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) terus melaksanakan program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) di seluruh negara termasuk Sarawak bagi menyediakan ruang rekreasi, pendidikan alam sekitar dan ekopelancongan.

Sambutan berkenaan turut menyaksikan peluncuran Garis Panduan Pembangunan dalam Koridor Sungai dan penyampaian Anugerah Khas Sumber Air (AKSA) 2026 sebagai pengiktirafan kepada komuniti yang aktif dalam pemeliharaan serta pengurusan sungai.

Lebih 1,000 pengunjung menyertai pelbagai aktiviti termasuk Ekspedisi Sumber Air Negara (EKSAN) di sekitar Sibu dan Kapit, pertandingan memancing di Batang Rajang, fotografi, videografi, mewarna, sesi perkongsian ilmu, aktiviti menyusuri sungai serta pameran dan Jualan Rahmah.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU