KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memandang serius insiden serangan melibatkan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun di sebuah sekolah antarabangsa di sini dan bersedia menghulurkan bantuan termasuk perkhidmatan kaunseling.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, JKM lazimnya tidak mengendalikan kes seumpama itu secara langsung, sebaliknya menawarkan perkhidmatan kaunseling yang melibatkan kaunselor berpengalaman.
“Kita juga tidak mahu mengganggu anak-anak ini atau keluarga mereka, lebih-lebih lagi ketika kes ini mungkin masih dalam siasatan polis dan kita perlu memberi mereka ruang untuk bertenang.
“Namun, kita sudah memaklumkan bahawa perkhidmatan ini tersedia untuk membantu sekiranya diperlukan. Kita memandang serius perkara seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Pemerkasaan Wanita dan Belia Menerusi Kraf dan Seni Persembahan – WEAVE 2026 di Muzium Budaya Borneo (BCM) di sini, hari ini.
Ditanya mengenai perkhidmatan kaunseling kepada guru dan pelajar yang terjejas akibat insiden berkenaan, Nancy memaklumkan bahawa sekolah mempunyai kaunselor sendiri dan JKM menghormati peranan Kementerian Pendidikan dalam mengendalikan situasi tersebut.
“Pihak pendidikan mempunyai kaunselor sendiri. Kita menghormati peranan mereka dan memberi peluang kepada pihak yang lebih berautoriti untuk mengendalikan keadaan ini.
“Bagaimanapun, sekiranya mereka memerlukan bantuan daripada JKM, insya-Allah kita akan membantu. Kita sentiasa bersedia,” tegasnya.
Untuk rekod, insiden itu dilaporkan berlaku pada pagi 21 Oktober lalu, apabila seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun dipercayai menyerang seorang guru wanita menggunakan kapak di sebuah sekolah antarabangsa di Kuching dan guru berkenaan dilaporkan mengalami kecederaan pada tangan.



