ARTIKEL

PAS Sarawak sasar tiga kerusi DUN, pertimbang satu lagi di utara

PAS Sarawak sasar tiga kerusi DUN, pertimbang satu lagi di utara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sarawak menyasarkan untuk bertanding di sekurang-kurangnya tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, dengan kemungkinan menambah satu lagi kerusi di utara negeri ini.

Pesuruhjaya PAS Sarawak Arifiriazul Paijo berkata, tiga kerusi yang dikenal pasti ialah Beting Maro, Sebuyau dan Samariang, tetapi keputusan muktamad masih tertakluk kepada kelulusan kepimpinan tertinggi parti di peringkat pusat.

Arifiriazul

“Satu lagi kerusi yang sedang dipertimbangkan terletak di kawasan utara Sarawak, sama ada dalam Parlimen Bintulu atau Sibuti, dengan pengumuman lanjut akan dibuat selepas penelitian terhadap beberapa pertimbangan politik dan kesiapsiagaan jentera.

“Buat masa ini, tiga DUN yang kita cadangkan hampir dimuktamadkan, cuma tertakluk kepada keputusan kepimpinan tertinggi parti di peringkat pusat,” katanya pada sidang media PAS Sarawak di Dewan SMITI, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Jerantut Ir Ir Khairil Nizam Khirudin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai Datuk Dr Aliakbar Gulasan serta barisan kepimpinan PAS Sarawak.

Menurut Arifiriazul lagi, pemilihan kerusi berkenaan dibuat berdasarkan kesiapsiagaan jentera di peringkat kawasan yang sudah bergerak sejak awal sebagai persediaan menghadapi PRN akan datang.

Selain itu, beliau berkata, PAS Sarawak juga sudah mempunyai senarai pendek calon bagi ketiga-tiga kerusi berkenaan, sekali gus menunjukkan parti itu sedang memperkemas persiapan untuk menghadapi persaingan pilihan raya.

Mengulas kemungkinan penambahan kerusi berbanding PRN Sarawak 2021, beliau berkata, penyertaan PAS dalam pilihan raya negeri sebelum ini menunjukkan jumlah kerusi yang ditandingi parti itu berubah mengikut keadaan dan pertimbangan semasa.

Katanya, PAS pernah bertanding di tiga kerusi pada 2001, satu kerusi pada 2006, lima kerusi pada 2011, 11 kerusi pada 2016 dan kembali bertanding di satu kerusi pada PRN 2021.

“Ketiga-tiga DUN yang kita cadangkan ini adalah kawasan yang jentera kita sudah bersedia. Mereka sudah bergerak sejak awal untuk menghadapi pilihan raya,” dedahnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, pemilihan Sebuyau turut mengambil kira kedudukan kawasan itu dalam Parlimen Batang Lupar, selain menjadi sebahagian daripada persediaan parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Bagi Samariang pula, katanya, kawasan itu mempunyai nilai tersendiri dalam sejarah perkembangan PAS di Sarawak, khususnya kerana Petra Jaya menjadi antara lokasi awal parti itu bertapak di negeri ini.

Pada masa yang sama, Arifiriazul memberitahu, PAS masih mengadakan perbincangan dengan beberapa parti politik berhubung kemungkinan kerjasama pada PRN kali ini, namun belum ada keputusan muktamad mengenainya.

“Dengan gabungan atau tanpa gabungan, tiga DUN ini memang kawasan yang kita bersedia untuk bertanding,” ujarnya.

Mengulas perkembangan PAS di Sabah yang memperoleh kemenangan pertama di Borneo pada PRN negeri itu, beliau menyifatkan pencapaian berkenaan sebagai suntikan semangat kepada PAS Sarawak untuk terus memperkukuh gerak kerja dan keyakinan menghadapi pilihan raya.

Menurutnya, PAS Sarawak kini mempunyai lebih 8,000 ahli berdaftar, manakala kawasan tertentu seperti Limbang turut mempunyai struktur organisasi dan cawangan yang menjadi asas kepada gerak kerja parti di peringkat akar umbi.

Beliau menegaskan, penyertaan PAS dalam PRN Sarawak bukan sekadar untuk bersaing merebut kerusi, sebaliknya bertujuan memperjuangkan kepentingan rakyat serta meningkatkan perkhidmatan kepada masyarakat di kawasan yang ditandingi.

Tiga kerusi berkenaan kini disandang wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS), iaitu Datuk Razaili Gapor di Beting Maro, Datuk Seri Julaihi Narawi di Sebuyau dan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali di Samariang.

Pada PRN Sarawak 2021, PAS bertanding di Beting Maro menerusi Arifiriazul tetapi tewas kepada Razaili.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU