ARTIKEL

Fadillah berucap pada Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Sibu, hari ini.

Kerjasama semua pihak kunci pengurusan sungai lestari – Fadillah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIBU: Kajian Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) Batang Rajang yang dijangka siap pada Ogos 2027 bakal menjadi asas penyediaan pelan tindakan menyeluruh bagi menangani masalah banjir di Sibu serta memperkukuh pengurusan sungai di kawasan lembangan terbesar di Malaysia itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, kajian yang dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu antara langkah Kerajaan Persekutuan mencari penyelesaian jangka panjang bagi masalah banjir yang berulang di Sibu.

Abang Johari menyempurnakan Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Sibu, hari ini.

Menurutnya, Lembangan Batang Rajang ialah satu daripada sembilan lembangan sungai di Sarawak yang terlibat dalam pelaksanaan kajian berkenaan bagi memastikan pengurusan sumber air dan pembangunan dilaksanakan secara lebih sistematik.

“Kajian ini dilaksanakan kerana ADUN Dudong yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Sarawak Datuk Seri Tiong King Sing sering mendesak kita supaya mencari penyelesaian kepada masalah banjir di Sibu.

“Jadi, diharap hasil kajian ini dapat menyediakan pelan tindakan bagi membantu Kerajaan Sarawak merancang pengurusan sungai secara lebih bersepadu, sistematik dan berterusan,” katanya.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata demikian pada Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 yang disempurnakan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan turut menyediakan peruntukan berjumlah RM7.4 bilion bagi melaksanakan 46 projek berkaitan air di Sarawak di bawah Pelan Pelaksanaan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Daripada keseluruhan projek itu, sebanyak 33 ialah projek sambungan manakala 13 lagi projek baharu, dengan RM5.8 bilion melibatkan projek di bawah JPS termasuk tebatan banjir, pemuliharaan sungai dan kawalan hakisan pantai.

“Pelaksanaan projek ini diharap dapat memperkukuh keterjaminan sumber air, mengurangkan risiko bencana dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Usaha ini penting supaya sumber air terus terpelihara, risiko banjir dapat dikurangkan dan pembangunan dilaksanakan dengan mengambil kira kesejahteraan masyarakat serta kelestarian alam sekitar,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, enam projek turut diserahkan kepada Kerajaan Sarawak sempena sambutan itu, iaitu Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Kampung Semarang, Pusa, Betong serta dua projek Denai Sungai Kebangsaan (DSK) masing-masing di Sungai Pesang, Kampung Pesang dan Sungai Serian, Kampung Stabut.

“Tiga lagi melibatkan Kajian IRBM Batang Samarahan, Sungai Sibuti dan Batang Saribas bagi memperkukuh perancangan pengurusan sungai di kawasan berkenaan.

“Pembinaan Denai Sungai Kebangsaan di Sarawak ini juga memberi ruang kepada masyarakat menjalankan aktiviti rekreasi dan pendidikan alam sekitar, selain menggalakkan pelibatan komuniti dalam usaha pemeliharaan sungai,” ujarnya.

Selain itu, katanya, kerjasama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak, pihak berkuasa tempatan dan masyarakat perlu terus diperkukuh selaras dengan Dasar Air Negara serta Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR 2040).

“Peruntukan, projek pembangunan dan kajian yang dilaksanakan mencerminkan komitmen PETRA untuk memastikan sungai serta sumber air diurus dengan lebih baik.

“Namun, kejayaan usaha ini memerlukan kerjasama erat semua pihak. Apabila perancangan yang baik disertai penglibatan rakyat, manfaatnya dapat dirasai untuk jangka masa panjang,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU