KUCHING: Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Nancy Shukri menyambut baik keputusan parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) berhubung pemilihan calon bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13, termasuk penampilan muka baharu.
Naib Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu juga berkata, perkara tersebut penting kerana setiap keputusan perlu dihormati dan calon yang dipilih akan mendapat sokongan sewajarnya.
“Alhamdulillah, perkara itu sudah diumumkan. Kita mengalu-alukan keputusan yang dibuat oleh PBB dan GPS serta menghormati sesiapa sahaja yang dipilih sebagai calon,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Pemerkasaan Wanita dan Belia Menerusi Kraf dan Seni Persembahan (WEAVE 2026) di Muzium Budaya Borneo (BCM) di sini, hari ini.
Mengulas kemungkinan pertambahan calon wanita pada PRN akan datang, Nancy menegaskan bahawa perkara itu masih belum dapat dipastikan kerana senarai calon hanya diketahui dengan lebih jelas pada hari penamaan calon.
Menurutnya, perubahan juga boleh berlaku pada saat akhir, termasuk sehari sebelum penamaan calon.
“Jadi, sama-sama kita berdoa agar Sarawak mempunyai calon yang berwibawa dan mampu membawa negeri ini ke tahap lebih tinggi, seiring dengan kepimpinan Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Premier kita telah menjadi contoh kepada pemimpin di negara ini dan kepimpinannya turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Kita tahu beliau telah melakukan tugas dengan baik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nancy memberitahu bahawa kempen pilihan raya di Sarawak juga dijangka lebih tertumpu kepada agenda pembangunan memandangkan pelbagai pencapaian negeri itu dapat dibuktikan.
“Bagi saya, kempen di Sarawak tidaklah begitu sukar kerana banyak perkara berkaitan pembangunan boleh dibuktikan. Fokus kita juga bukan kepada perkara politik semata-mata, tetapi kepada pembangunan yang boleh dilaksanakan dan dipertingkatkan.
“Pada masa sama, kita juga dapat membuktikan pencapaian yang telah diraih Sarawak,” tegasnya.
Untuk rekod, Abang Johari memaklumkan pada sidang media khas semalam bahawa GPS bakal menampilkan gabungan calon berpengalaman dan muka baharu pada PRN Sarawak Ke-13.
Bagaimanapun, menurutnya, keputusan muktamad berhubung senarai calon, termasuk penyandang yang dikekalkan, hanya dibuat selepas mesyuarat GPS.
Selain itu, DUN Sarawak dijadual dibubarkan pada Isnin, 26 Oktober bagi memberi laluan kepada PRN Ke-13.





