MUKAH: Festival Saga Nusantara (SNF) 2026 berpotensi menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan kebudayaan antara Malaysia dan Indonesia, selain mempromosikan keunikan warisan masyarakat Melanau di Mukah dan masyarakat Jawa.
Pengarah Tourism Malaysia Sarawak, Rubiah Tul’Adwiyah Md Yusuf berkata, perkongsian tradisi, seni, makanan dan amalan kebudayaan menerusi festival itu mampu memupuk persefahaman serta mengeratkan persahabatan antara kedua-dua masyarakat.

“Penganjuran festival ini mencerminkan kepentingan kerjasama antara masyarakat, rakan industri dan pihak berkepentingan dalam mengetengahkan keunikan warisan budaya serta tarikan pelancongan Sarawak.
“SNF 2026 ini juga menyediakan platform yang bernilai untuk memperkukuh hubungan kebudayaan antara Malaysia, khususnya masyarakat Melanau di Mukah, Sarawak, dengan Indonesia yang diwakili oleh masyarakat Jawa.
“Melalui perkongsian tradisi, seni, makanan dan amalan kebudayaan, kita dapat memupuk persefahaman, mengeratkan persahabatan serta membina hubungan yang berkekalan antara masyarakat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Tiong King Sing, pada SNF 2026 di Petanak Beach Chalet & Café, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kepelbagaian budaya, tradisi unik, keindahan alam semula jadi serta keramahan penduduk antara aset berharga yang menjadikan Sarawak destinasi menarik kepada pelancong domestik dan antarabangsa.
Katanya, festival kebudayaan bukan sahaja menjadi ruang untuk masyarakat meraikan kepelbagaian budaya, malah membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk memperkenalkan produk, makanan tradisional dan hasil kraf tangan kepada khalayak yang lebih luas.
Sehubungan itu, beliau berharap SNF terus berkembang sebagai platform untuk mempromosikan Mukah dan Sarawak sebagai destinasi pelancongan yang menarik.
“Saya berharap semangat kerjasama yang ditunjukkan dapat diteruskan bagi menyokong pembangunan sektor pelancongan serta membawa manfaat berpanjangan kepada masyarakat setempat,” tambahnya.
Hadir sama ialah Konsul Jenderal Republik Indonesia, Dr Abdullah Zulkifli; Pengerusi SNF 2026, Abdul Aziz Mura’ee; dan Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Sarawak, Kevin Jantan.





