ARTIKEL

Datuk Amar Fadillah Yusof

Malaysia sasar tarik pelaburan tenaga

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, dijadual mengadakan beberapa pertemuan strategik dengan wakil kerajaan Singapura dan India serta peneraju industri tenaga antarabangsa bagi memperkukuh kerjasama dan menarik pelaburan dalam sektor tenaga Malaysia.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air akan mengetuai delegasi Malaysia ke Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) 2026 yang berlangsung pada 26 Oktober ini, selain menyampaikan ucap utama pada persidangan tahunan berkenaan.

Menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), pertemuan dua hala itu akan melibatkan rakan sejawat beliau dari Singapura dan India, di samping beberapa organisasi kewangan serta syarikat tenaga utama dunia.

“Antaranya ialah Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), Bank Jepun bagi Kerjasama Antarabangsa (JBIC), Siemens Energy, Acwa Power, Électricité de France (EDF) dan Mitsubishi Heavy Industries.

“Pertemuan ini bakal menjadi platform untuk bertukar pandangan dan meneliti amalan terbaik dalam kalangan penggubal dasar, pemain industri serta pihak berkepentingan dalam sektor tenaga antarabangsa.

“Ia juga penting dalam usaha merangka dasar dan program berkaitan tenaga yang lebih menyeluruh,” kata PETRA dalam satu kenyataan hari ini.

PETRA memaklumkan, bahawa penyertaan Malaysia pada persidangan berkenaan turut membuka peluang mengetengahkan pelaksanaan inisiatif kerjasama dua hala dan pelbagai hala, khususnya antara Malaysia dengan Singapura.

“Penyertaan ini membuktikan komitmen Malaysia dalam membangunkan industri tenaga serta menarik minat dan keyakinan pelabur dan pembiaya antarabangsa untuk melabur dalam pelaksanaan projek berkaitan tenaga negara.

“Selain memperkukuh hubungan dengan rakan strategik, persidangan itu juga menjadi ruang untuk Malaysia berkongsi pendekatan pelaksanaan dasar peralihan tenaga serta meneroka peluang kerjasama baharu di peringkat serantau dan antarabangsa,” ujar kenyataan itu.

Menurut PETRA, penyertaan Fadillah mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memacu peralihan tenaga, memelihara kelestarian alam sekitar dan memperkukuh keselamatan tenaga serantau.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU