ARTIKEL

Yusuf (dua kanan) menyampaikan anugerah kepada Pengarah JKR Sarawak, Datuk Dr Cassidy Morris. Foto: Facebook rasmi JKR Sarawak

JKR Sarawak raih Anugerah Kecemerlangan Inovasi Digital 2026

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak menerima Anugerah Kecemerlangan Inovasi Digital bagi kategori Transformasi Sektor Awam sebagai pengiktirafan atas komitmennya dalam inovasi digital dan transformasi sektor awam.

Anugerah itu disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Datuk Ir Yusuf Abd Wahab, sempena Majlis Makan Malam dan Anugerah Jubli Emas Chartered Institute of Building Malaysia (CIOB Malaysia) 2026 di Kuala Lumpur, malam tadi.

Yusuf yang hadir turut mewakili Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, pada majlis berkenaan.

Yusuf berkata CIDB komited menyokong pembangunan infrastruktur yang bersedia menghadapi keperluan masa hadapan.

Katanya, pemain industri pembinaan tempatan perlu diperkasa supaya mampu bersaing dan menyesuaikan diri dengan perkembangan industri di peringkat antarabangsa, selain galakan terhadap pelaburan dalam pembangunan generasi teknikal akan datang.

“Golongan muda dalam bidang teknikal bukan sahaja memerlukan pengetahuan, malah bimbingan untuk membina keupayaan kepimpinan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi JKR Sarawak.

Beliau menambah, keperluan masa hadapan menuntut kerjasama yang lebih kukuh, dengan CIOB Malaysia memainkan peranan penting dalam membangunkan industri pembinaan yang berdaya saing.

“Justeru, CIDB berharap agar kerjasama dengan CIOB Malaysia dapat terus diperkukuh bagi menyokong kemajuan industri pembinaan negara,” ujarnya.

Pengiktirafan yang diterima JKR Sarawak pula mencerminkan komitmen jabatan itu terhadap inovasi digital dan transformasi sektor awam, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menggariskan transformasi digital dan inovasi sebagai antara pemangkin pembangunan Sarawak ke arah masyarakat makmur yang dipacu data dan inovasi.

JKR Sarawak juga akan terus menerapkan pendekatan inovatif bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam serta menyokong pembangunan infrastruktur untuk rakyat Sarawak.

Pengiktirafan berkenaan juga menjadi dorongan kepada jabatan untuk terus meningkatkan keupayaan dan menyumbang kepada kemajuan sektor pembinaan negeri.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU