MUKAH: Seorang tukang rumah ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 0.45 gram dalam operasi di Kampung Seberang, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata, suspek, 40, ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah menerusi Op Tapis kira-kira jam 4 petang.
Menurutnya, pemeriksaan dilakukan terhadap sebuah kereta Perodua Axia berwarna hijau yang diletakkan di tepi Dewan Serbaguna Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Seberang.
“Hasil pemeriksaan terhadap pemandu kenderaan itu menemukan satu keratan tiub straw lutsinar yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine di bawah tempat duduk pemandu.
“Dadah berkenaan mempunyai berat kasar 0.45 gram dengan anggaran nilai RM50,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek turut mendapati lelaki itu positif amphetamine dan methamphetamine.
Siasatan awal mendapati suspek mengaku dadah yang dirampas itu miliknya dan memaklumkan bahawa dia mula terlibat dalam penyalahgunaan dadah sejak Jun tahun ini.
“Semakan polis juga mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana menggunakan dadah secara salah.
“Suspek direman selama empat hari sehingga 28 Oktober ini bagi membantu melengkapkan siasatan,” jelasnya.
Rizal berkata, pihak polis akan meneruskan siasatan bagi mengesan dan mengenal pasti sumber bekalan dadah yang diperoleh suspek.
“Polis Daerah Mukah komited membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah serta menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan berkenaan kepada pihak polis,” tambahnya.





