MIRI: Sebanyak 5,681 kes buli direkodkan di sekolah seluruh negara dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan dan kesejahteraan emosi pelajar.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Sri Lee Kim Shin berkata, statistik bagi tempoh Januari hingga Ogos dibentangkan di Parlimen baru-baru ini menunjukkan gejala buli masih menjadi isu serius yang memerlukan perhatian dan tindakan bersama.
Perbuatan buli bukan sahaja melibatkan kekerasan fizikal, malah merangkumi ejekan, penghinaan, ugutan, pemulauan dan gangguan melalui media sosial yang boleh menjejaskan emosi mangsa.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Program Bina Sahsiah Remaja Peringkat Bahagian Miri 2026 di Auditorium Universiti Curtin, di sini, hari ini.
Pihak sekolah dan guru perlu peka terhadap perubahan tingkah laku pelajar yang mungkin menandakan mereka mengalami tekanan emosi atau menjadi mangsa buli.
Jelasnya, saluran aduan dan perkhidmatan kaunseling perlu diperkukuh serta mudah diakses supaya pelajar berani mendapatkan bantuan tanpa takut dipersalahkan, diejek atau dikenakan tindakan balas.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap insiden seorang guru yang cedera dalam kejadian membabitkan pelajar di sebuah sekolah antarabangsa di Kuching pada 21 Oktober lalu.
Lee mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai punca kejadian sementara siasatan pihak berkuasa masih dijalankan.
Beliau turut menyeru ibu bapa supaya tidak hanya menumpukan perhatian terhadap pencapaian akademik anak-anak, sebaliknya mengambil berat keadaan emosi dan kesihatan mental mereka.





