PIALA PREMIER SARAWAK 2026
ASAJAYA: Pasukan Samarahan berjaya memanfaat beraksi dilaman sendiri selepas menumpaskan Bintulu (4-1) pada aksi separuh akhir pertama kempen Piala Premier Sarawak 2026 di Kompleks Sukan Asajaya petang tadi.
Sentuhan penyudah rangkaian penyerang berbeza persepsinya, Lovehendry Anak Mangi, Ashri Chuchu, Alif Aiman Mohamad dan Muhammad Amzar Baihaqi Azman penyumbang kemenangan ke atas juara bertahan itu menerusi gol dijaringkan pada minit ke-11, 53, 58 dan 90(+3).
Keputusan itu memberi kelebihan kepada skuad kendalian Ideris Untong menjelang aksi timbal balik di Bintulu pada 31 Oktober ini.
Bagaimanapun, Ideris menegaskan kemenangan berkenaan belum menjamin tempat pasukannya di pentas final kerana masih ada 90 minit permainan di gelanggang lawan.

Ideris turut memuji komitmen pemainnya yang berjaya melaksanakan tugas dengan baik sepanjang perlawanan.
Bagaimanapun, beliau mengakui Samarahan berdepan tekanan hebat daripada pasukan pelawat pada babak pertama yang menyaksikan tuan rumah hanya mampu menjaringkan satu gol.
Sebaliknya, Samarahan mempamerkan penguasaan lebih baik pada babak kedua apabila menambah tiga gol untuk mengukuhkan kemenangan.
Gol tunggal Bintulu dijaringkan Morganthiny Migu pada minit ke-78.
Menurut Ideris, pemainnya turut mencipta beberapa peluang untuk menambah jaringan, namun percubaan yang dilakukan gagal menembusi gawang lawan.
“Saya melihat perkara ini dengan serius dan akan cuba memperbaikinya dalam latihan selepas ini.
“Kita tidak mahu situasi sama berulang pada perlawanan kedua nanti,” katanya.
Samarahan turut mendapat sokongan lebih 800 penyokong pada perlawanan itu, selain kehadiran Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Hajah Rubiah Haji Wang.





