ARTIKEL

Kredit: Bernama

Jenazah Dr Ainul dan Kapten Zainol dibawa pulang hari ini

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Jenazah Dr Ainul Baraah Kamaruddin dan juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, dua daripada lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Baram, dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing hari ini.

Selepas urusan di Jabatan Forensik Hospital Miri yang bermula 4 pagi, kedua-dua jenazah dibawa ke Masjid Jamal Ad-Din, Taman Jelita, Taman Tunku untuk disembahyangkan selepas solat Subuh.

Solat jenazah diimamkan Imam Bahagian Miri Ustaz Mohamad Ardy Putera Zainudin dan disertai lebih 300 jemaah.

Bapa Kapten Zainol, Bee Sham Ahmad, dan bapa Dr Ainul, Kamarudin Salleh, merakamkan penghargaan kepada jemaah yang hadir serta meluahkan kesedihan atas kehilangan anak masing-masing, namun reda dengan ketentuan Ilahi.

Pengerusi Masjid Jamal Ad-Din Bujang Julaihi berkata jemaah masjid berasa terhormat dapat menunaikan solat jenazah bagi dua insan yang disifatkan sebagai wira kerana khidmat dan pengorbanan mereka kepada masyarakat Sarawak.

Beliau berkata kedua-duanya akan dirindui, khususnya oleh penduduk Ulu Baram yang menerima khidmat mereka.

Kedua-dua jenazah dibawa ke Lapangan Terbang Miri pada 6.15 pagi.

Jenazah Dr Ainul dijadual diterbangkan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia ke Kelantan pada 8.30 pagi, manakala jenazah Kapten Zainol dijadual berlepas menerusi MASkargo dengan penerbangan Malaysia Airlines pada 12.10 tengah hari seperti dilapor Bernama.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU