ARTIKEL

PENGHORMATAN TERAKHIR: Ahli keluarga, sahabat handai dan kenalan rapat hadir menzahirkan rasa simpati serta memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Datuk Kamil Misuari di kediaman Datuk Seri Nancy Shukri di Petra Jaya. (Foto Levrone Aigle)

Jenazah suami Nancy Shukri tiba di Kuching untuk penghormatan terakhir

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kediaman Datuk Seri Nancy Shukri diselubungi suasana hiba apabila orang ramai mula hadir sejak awal pagi bagi memberikan penghormatan terakhir kepada suaminya, Allahyarham Datuk Kamil Misuari, serta menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga.

Perkarangan kediaman Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu mula dipenuhi kenderaan tetamu yang datang silih berganti seawal pagi untuk menzahirkan rasa simpati serta berkongsi kesedihan bersama keluarga Allahyarham.

Kehadiran mereka mencerminkan hubungan erat yang terjalin antara Allahyarham dengan masyarakat serta rakan-rakan yang pernah mengenali dan berurusan dengannya.

Di dalam kediaman, bacaan surah Yasin dan doa mengiringi kehadiran tetamu yang datang memberikan penghormatan terakhir serta mendoakan kesejahteraan Allahyarham.

Nancy dilihat menerima kunjungan tetamu dengan penuh ketabahan sambil ditemani ahli keluarga terdekat.

Walaupun hiba dengan kehilangan insan tersayang, beliau tetap meluangkan masa menyantuni para tetamu yang hadir untuk menyampaikan ucapan takziah dan berkongsi rasa duka.

Dalam kalangan tetamu, ada yang mengambil kesempatan mengimbau kenangan bersama Allahyarham.

Perbualan mereka banyak berkisar tentang keperibadian Allahyarham yang disifatkan sebagai seorang yang mesra, rendah diri dan mudah didekati.

Menjelang tengah hari, jumlah pengunjung terus bertambah dengan kehadiran beberapa pemimpin, wakil agensi kerajaan serta tokoh masyarakat yang hadir bagi memberikan penghormatan terakhir dan menzahirkan sokongan kepada keluarga.

Walaupun diselubungi kesedihan, suasana di kediaman itu memperlihatkan nilai kasih sayang, persaudaraan dan kebersamaan yang terjalin dalam kalangan ahli keluarga, sahabat handai serta kenalan rapat.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Ampang, Kuala Lumpur pada jam 6.38 petang semalam pada usia 65 tahun.

Pemergian Allahyarham bukan sahaja meninggalkan kesedihan mendalam kepada keluarga yang ditinggalkan, malah turut dirasai sahabat handai, kenalan serta mereka yang pernah mengenali beliau sepanjang hayatnya.

Dilahirkan di Lahad Datu, Sabah, Allahyarham merupakan anak keempat daripada tujuh beradik kepada Misuari Ariff dan Frika Abaka.

Jenazah Allahyarham diterbangkan dari Kuala Lumpur ke Sarawak hari ini.

Jenazah kemudiannya dibawa ke kediaman Nancy di Taman Serira, Petra Jaya dan tiba kira-kira jam 2 tengah hari tadi bagi membolehkan ahli keluarga, sahabat handai serta orang ramai memberikan penghormatan terakhir.

Sesi penghormatan terakhir dan solat jenazah dijadualkan berlangsung pada jam 4.40 petang sebelum jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Samariang untuk dikebumikan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU