ARTIKEL

JENDELA: 41 menara komunikasi di kawasan Parlimen Selangau siap dibina

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Sebanyak 41 daripada 44 menara komunikasi baharu yang dirancang di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) siap dibina dan mula beroperasi di kawasan Parlimen Selangau.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, baki inisiaitif yang sedang dalam pelaksanaan dijangka siap secara berperingkat menjelang penghujung 2025.

“Secara keseluruhan di Sarawak, sehingga 31 Mei 2025, sebanyak 845 daripada 910 menara komunikasi baharu yang dirancang telah siap dan beroperasi

“Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga sedang merangka solusi penyediaan perkhidmatan Internet bagi kawasan berpenduduk yang masih belum mendapat perkhidmatan Internet melalui Pelan JENDELA Fasa 2,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta berkenaan jumlah menara komunikasi yang telah siap, sedang dibina dan masih dirancang di kawasan Parlimen Selangau di bawah Program JENDELA Fasa 1 dan Fasa 2.

Mengulas lanjut, katanya, perancangan untuk Pelan JENDELA Fasa 2 sedang diteliti oleh MCMC memandangkan ia memerlukan penilaian dan pertimbangan kaedah pemberian perkhidmatan yang sesuai serta keupayaan Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat untuk membiayai perbelanjaan modal dan perbelanjaan operasi ini.

Jelasnya, kaedah penyelesaian yang akan dipertimbangkan pada peringkat perancangan ini dijangka melibatkan pembinaan menara baharu dan penyediaan Internet menggunakan teknologi satelit.

“Senarai lokasi dan kaedah penyelesaian pemberian perkhidmatan bagi Pelan JENDELA Fasa 2 akan dapat dikenal pasti dan dimuktamadkan oleh perunding pengurusan projek (PMC) yang dilantik oleh MCMC.

“Pada masa ini, PMC sedang melaksanakan kajian tapak bagi menilai kesesuaian jenis perkhidmatan yang akan dilaksanakan dengan mengambil kira faktor bentuk muka bumi serta kepadatan dan taburan penduduk di kawasan sekitar,” tambahnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU