TOKYO: Inflasi teras Jepun mencatat kadar 1.4 peratus pada April, lebih rendah berbanding 1.8 peratus pada Mac susulan penurunan harga petrol selepas pelaksanaan subsidi bahan api oleh kerajaan.
Data kerajaan menunjukkan kadar inflasi yang tidak termasuk harga makanan segar itu juga lebih rendah daripada jangkaan pasaran sebanyak 1.7 peratus ketika negara berdepan tekanan kos sara hidup akibat konflik di Asia Barat.
Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi kini mempercepat penyediaan bajet tambahan bagi membantu mengurangkan beban rakyat termasuk menerusi subsidi bil elektrik, gas dan bahan api.
Menurut Bernama, Jepun yang banyak bergantung kepada import minyak dari Asia Barat turut merekodkan penurunan ketara import minyak mentah dan produk tenaga dari rantau tersebut pada April berbanding tempoh sama tahun lalu.
Walaupun ekonomi Jepun berkembang 0.5 peratus pada suku pertama tahun ini, penganalisis menjangkakan tekanan ekonomi lebih besar bakal dihadapi susulan kesan konflik di Asia Barat terhadap harga tenaga global.



