ARTIKEL

CATHERINE KATHY MICHAEL. | FOTO RAMIDI SUBARI

Jerebu jejaskan perniagaan di Pusat Penjaja Serian

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SERIAN: Seperti kebiasaannya, pusat penjaja menjadi antara lokasi tumpuan orang ramai, khususnya pada waktu pagi dan hujung minggu, namun suasana di Pusat Penjaja Serian hari ini dilihat tidak begitu sibuk susulan keadaan jerebu yang melanda kawasan berkenaan.

Tinjauan Suara Sarawak sekitar jam 9.30 pagi mendapati kehadiran pelanggan di pusat penjaja itu tidak begitu ramai, manakala beberapa peniaga yang ditemui mengakui jumlah pengunjung sedikit berkurangan sejak keadaan jerebu bertambah buruk.

Mereka turut memberitahu keadaan itu memberi kesan kepada hasil jualan harian, namun aktiviti perniagaan masih diteruskan seperti biasa termasuk selepas pengisytiharan darurat di kawasan Serian, semalam.

TONG NYIAN TAN. | FOTO RAMIDI SUBARI

Antara peniaga yang merasai kesan keadaan itu ialah Catherine Kathy Michael, 53, yang sudah hampir enam tahun berniaga di pusat penjaja berkenaan.

Katanya, jumlah pelanggan mula berkurangan sejak keadaan jerebu bertambah buruk, terutama pada hari bekerja apabila orang ramai dilihat kurang melakukan aktiviti di luar rumah.

“Sejak jerebu ini, ada hari yang perniagaan agak baik dan ada hari yang kurang.

ROSNI JULAIHI. | FOTO RAMIDI SUBARI

“Orang ramai jarang keluar kerana cuaca panas dan keadaan jerebu, kadang-kadang hujung minggu pelanggan ada yang datang juga tetapi hari bekerja memang kurang.

“Sekarang memang kita lihat, jualan agak terjejas kerana keadaan jerebu semakin memburuk, lebih-lebih lagi ketika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) meningkat,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Tambahnya, dia melihat orang ramai jarang memilih untuk datang ke pusat penjaja ketika ini mungkin kerana kawasan itu terbuka dan terdedah kepada asap jerebu.

NUR SHAFIQAH HAMIDI. | FOTO RAMIDI SUBARI

“Jadi bagi saya, mereka mungkin lebih memilih untuk ke pasar raya kerana tempatnya tertutup dan tidak terdedah kepada jerebu, sekali gus turut menawarkan apa yang kami jual di pasar ini,” ujarnya.

Catherine memaklumkan, meskipun ketika jerebu, bekalan daripada pembekal masih diterima seperti biasa dan harga barangan juga tidak mengalami perubahan ketara.

“Ketika ini barangan lain tiada masalah, cuma hasil tanaman seperti timun berkurangan sedikit kerana cuaca panas menyebabkan pokok cepat mati.

SUASANA DI PUSAT PENJAJA SERIAN. | FOTO RAMIDI SUBARI

“Bagi barangan kering pula, tiada masalah,” jelasnya.

Mengulas mengenai pengisytiharan darurat susulan keadaan jerebu, Catherine memberitahu peniaga masih mempunyai pilihan untuk meneruskan operasi dan pihaknya memilih untuk terus berniaga.

“Kami memang mengharapkan pelanggan datang kerana barangan yang dibawa masuk perlu dijual,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Tong Nyian Tan, 86, yang sudah lebih 20 tahun berniaga di pusat penjaja berkenaan, turut mengakui keadaan jerebu memberi kesan kepada kehadiran pelanggan.

SUASANA DI PUSAT PENJAJA SERIAN. | FOTO RAMIDI SUBARI

Menurutnya, pelanggan kini tidak lagi berada lama di pasar dan kebanyakannya mula beransur pulang menjelang tengah hari.

Jelasnya, meskipun waktu perniagaan masih dikekalkan seperti biasa, iaitu dari jam 7 pagi hingga sekitar 12.30 tengah hari, hasil jualan kini juga lebih rendah berbanding sebelum keadaan jerebu memburuk.

“Jualan memang berkurangan berbanding sebelum ini.

“Sejak jerebu, jumlah pelanggan juga semakin kurang,” katanya.

Menurut Tong, keadaan lebih ketara ketika musim cuti sekolah apabila kanak-kanak yang kebiasaannya keluar bersama keluarga kini lebih banyak berada di rumah.

“Biasanya ketika cuti sekolah, ramai kanak-kanak datang ke sini dengan keluarga, tetapi sekarang mereka lebih banyak berada di rumah kerana keadaan jerebu,” ujarnya.

Sementara itu, Rosni Julaihi, 57, memberitahu jualan kuihnya turut terjejas sejak keadaan jerebu melanda, sekali gus menyaksikan hasil jualan juga tidak menentu.

“Sebelum keadaan jerebu memburuk, pendapatan hasil jualan di gerai kami boleh mencecah lebih RM500 pada hari tertentu.

“Tetapi, ketika ini kami hanya mampu mendapatkan hasil jualan sekitar RM200, dan paling tinggi hanya RM300,” tegasnya.

Bagi Nur Shafiqah Hamidi, 27, pula, jualan di gerainya agak berkurangan sejak jerebu melanda, namun tidak merudum dengan ketara kerana pelanggan masih ada terutama ketika cuti sekolah dan hujung minggu meskipun jumlahnya tidak ramai.

“Kalau hendak dikatakan merudum, tidak juga, tetapi memang ada pengurangan berbanding biasa.

“Ketika cuti sekolah, masih ada pelanggan walaupun tidak begitu ramai,” ujarnya.

Menurut Nur Shafiqah, ketika ini harga sesetengah barangan daripada pembekal turut meningkat sedikit kerana beberapa produk sukar diperoleh.

“Namun, saya masih berniaga seperti biasa dan meneruskan operasi seperti biasa.

“Saya berharap keadaan jerebu bertambah baik supaya lebih ramai pelanggan datang selepas ini,” jelasnya.

BERITA LAIN

Politik Semenanjung tidak jejas GPS – Abdul Karim

KUCHING: Pergolakan politik di Semenanjung Malaysia dijangka tidak menjejaskan landskap politik Sarawak menjelang Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13), dengan perpaduan rakyat dan agenda pembangunan

BERITA TERBARU

Politik Semenanjung tidak jejas GPS – Abdul Karim

KUCHING: Pergolakan politik di Semenanjung Malaysia dijangka tidak menjejaskan landskap politik Sarawak menjelang Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13), dengan perpaduan rakyat dan agenda pembangunan