SARIKEI: Keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan di Sarawak menyebabkan lokasi Majlis Perhimpunan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak 2026 pada 25 Ogos ini dipindahkan dari Kompleks Sukan Sarikei ke Dewan Sentral Sarikei.
Pengerusi Penyelarasan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak 2026, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, langkah itu diambil sebagai tindakan berjaga-jaga bagi melindungi kesihatan dan keselamatan ribuan peserta serta tetamu yang dijangka menghadiri sambutan berkenaan.
Katanya, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa lokasi, termasuk Sarikei, yang menunjukkan keadaan kurang sihat ketika ini.
“Sekiranya keadaan jerebu berterusan dalam tempoh lima hari akan datang tanpa hujan, kita tidak mahu mengambil risiko terhadap peserta.
“Atas pertimbangan itu, lokasi acara kemuncak dipindahkan ke Dewan Sentral Sarikei,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat akhir Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak 2026 di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei, hari ini.
Abdul Rahman yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak berkata, sambutan selama dua hari bermula 24 hingga 25 Ogos itu dijangka menghimpunkan lebih 6,000 peserta daripada 125 kontinjen.
Bagaimanapun, katanya, kapasiti peserta bagi majlis perhimpunan di Dewan Sentral akan diselaraskan kepada sekitar 2,500 hingga 3,000 orang mengikut kemampuan ruang berkenaan.
Beliau berkata, penyertaan membabitkan pelbagai pihak termasuk jabatan dan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan perundangan, sektor swasta serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
“Turut diberi ruang kepada institusi pendidikan, kumpulan kebudayaan dan masyarakat adat bagi memastikan sambutan ini mencerminkan semangat penyertaan seluruh lapisan masyarakat,” katanya.
Sambutan akan dimulakan dengan Majlis Kesyukuran dan Zikir Maulid di Masjid Al-Muttaqin, Sarikei pada 24 Ogos, yang dijangka dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi serta Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Majlis perhimpunan pada 25 Ogos pula dijadual bermula jam 9 pagi di Dewan Sentral Sarikei, dengan acara antaranya bacaan doa dan amanat oleh Premier Sarawak, sekali gus menjadi kemuncak sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri tahun ini.



