KUCHING: Terdapat lima bahagian di Sarawak masih merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 8 pagi, hari ini.
Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Serian mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu 189, diikuti Kuching (175), Samarahan (170), Sri Aman (158) dan Bintulu (108).
Manakala, bagi negeri lain pula, lima kawasan turut merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat iaitu Johan Setia di Selangor (161), Sungai Petani (155) dan Alor Setar (151) di Kedah, Minden di Pulau Pinang (139) serta Kuala Selangor di Selangor (132).
Sementara itu, beberapa kawasan di Sarawak turut mencatatkan IPU sederhana seperti Mukah (95), Samalaju (90), Miri (86), ILP Miri (84), Sibu (80), Sarikei (79), Kapit (74) dan Limbang (70).
Semalam (23 Ogos), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak memaklumkan kesemua 591 sekolah di 10 daerah di Sarawak yang ditutup akibat jerebu mula beroperasi seperti biasa mulai hari ini.
Pembukaan semula sekolah tersebut turut membabitkan 509 sekolah rendah dengan 107,590 murid dan 82 sekolah menengah dengan 89,733 pelajar.
Menurut JPN Sarawak,keputusan itu dibuat berdasarkan bacaan IPU yang direkodkan melalui APIMS Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 10 pagi semalam.
Semua sekolah itu terletak di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Kuching, Padawan, Bau, Lundu, Samarahan, Simunjan, Serian, Sri Aman, Lubok Antu dan Betong.

