KUCHING: Jerebu rentas sempadan dijangka memberi kesan signifikan dengan keadaan cuaca di Sarawak, susulan peningkatan kes kebakaran terbuka dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, perkara itu berdasarkan laporan analisis yang dikeluarkan Asean Specialized Meteorological Centre (ASMC) pada 9 Ogos 2026 serta analisis ramalan yang dikeluarkan oleh MyCMAQ.
Menurutnya, analisis trend kebakaran terbuka yang direkodkan JBPM Sarawak dari 1 hingga 9 Ogos 2026 menunjukkan peningkatan jumlah kes yang ketara dalam tempoh tiga hari bermula 7 hingga 9 Ogos.
“Keadaan ini amat membimbangkan sekiranya aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal sepenuhnya dan boleh memburukkan lagi keadaan jerebu yang melanda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang awam supaya menghentikan sebarang aktiviti pembakaran terbuka bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.
Dalam pada itu, Tiong berkata, JBPM Sarawak akan terus meningkatkan aktiviti rondaan bagi mengenal pasti sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang dilakukan oleh orang awam.
Katanya, pihaknya turut mengambil tindakan dalam bentuk nasihat berterusan kepada pihak yang didapati secara sengaja melakukan pembakaran terbuka.
Menurutnya, pihak yang masih ingkar selepas diberikan nasihat akan dilaporkan kepada pihak berwajib untuk tindakan sewajarnya.
Berdasarkan infografik yang dikongsikan Pusat Gerakan Operasi JBPM Sarawak, sejumlah 63 panggilan diterima membabitkan kebakaran terbuka di Sarawak dari 1 hingga 9 Ogos lalu.
Panggilan kebakaran terbuka tertinggi direkodkan pada 9 Ogos lalu iaitu sejumlah 25 panggilan, diikuti 16 panggilan pada 8 Ogos dan enam panggilan pada 7 Ogos.
Sementara itu, panggilan kebakaran terbuka terendah direkodkan pada 6 Ogos iaitu dua panggilan, diikuti tiga dan empat panggilan masing-masing pada 4 dan 5 Ogos serta 1 Ogos dan 3 Ogos.
Bahagian Kuching mencatatkan kes tertinggi iaitu 19 kes, disusuli Samarahan (sembilan), Sarikei (enam), Kapit (lima), manakala Miri, Sri Aman dan Sibu masing-masing empat kes.
Betong dan Serian pula masing-masing merekodkan tiga kes, sementara Mukah, Limbang dan Bintulu masing-masing mencatatkan dua kes.

