KUCHING: Semua sekolah rendah dan menengah di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak di daerah Tebedu akan beroperasi seperti biasa mulai esok, Selasa (27 Oktober) ekoran perkembangan keadaan jerebu di kawasan berkenaan.
JPN Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan, keputusan itu dibuat berdasarkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang direkodkan setakat 2 petang, hari ini serta laporan Jabatan Meteorologi Malaysia.
“Sebarang perubahan atau maklumat terkini berhubung operasi sekolah akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
“JPN Sarawak juga sentiasa menitikberatkan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid khususnya semasa menghadapi keadaan cuaca panas ataupun sebarang keadaan cuaca yang di luar jangkaan,” katanya.
JPN Sarawak menerusi kenyataan sama memberitahu, ibu bapa atau penjaga dibenarkan untuk tidak menghantar anak bawah jagaan masing-masing ke sekolah sekiranya terdapat kebimbangan akan kesihatan anak-anak susulan keadaan jerebu yang masih melanda beberapa lokasi di Sarawak dengan membuat pemakluman kepada pihak sekolah.
“Kami juga amat mengambil berat tentang kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warganya,” ujarnya.
Sebelum ini, JPN Sarawak menyatakan sebanyak 27 buah sekolah di daerah Tebedu ditutup sementara hari ini (Isnin) berikutan keadaan jerebu, susulan pemantauan kualiti udara dan bacaan IPU yang direkodkan setakat jam 2 petang 25 Oktober, semalam.
Penutupan yang dilaksanakan hari ini juga membabitkan sebuah sekolah menengah dan 26 sekolah rendah di bawah seliaannya.
Sepanjang tempoh penutupan, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) turut dilaksanakan bagi memastikan proses pembelajaran murid dapat diteruskan. Guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) juga dibenarkan bekerja dari rumah (BDR) sepanjang tempoh tersebut.



