TANJUNG MANIS: Persekitaran politik yang stabil serta dasar pembangunan berterusan menjadi pemangkin kepada kemasukan pelaburan bernilai lebih RM116.8 bilion ke Sarawak sepanjang 2021 hingga 2024, memperkukuh keyakinan pelabur dengan hala tuju ekonomi negeri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, lebih 60 peratus daripada keseluruhan pelaburan yang diluluskan dalam tempoh berkenaan sudah direalisasikan atau sedang menjalani proses pelaksanaan.
Katanya, pencapaian itu mencerminkan keberkesanan pendekatan pembangunan yang diterajui Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dalam mewujudkan suasana kondusif bagi pertumbuhan ekonomi dan menarik minat pelabur.
“Jumlah pelaburan ini merangkumi pelaburan domestik langsung (DDI) serta pelaburan langsung asing (FDI), sekali gus menunjukkan kemampuan Sarawak menarik penyertaan syarikat tempatan dan antarabangsa,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Kilang Cerucuk dan Tiang (Spun Pile & Pole Factory) PMW International Berhad di sini, hari ini.
Katanya, keyakinan potensi ekonomi Sarawak turut mendorong beberapa syarikat antarabangsa meningkatkan komitmen pelaburan mereka, termasuk OCI di Bintulu yang mendapat kelulusan bagi pelaburan tambahan berjumlah RM2 bilion serta Western Digital di Kuching.
Beliau berkata, kejayaan menarik pelaburan berskala besar turut dipengaruhi oleh kesinambungan dasar kerajaan, kerangka perundangan yang memberikan kepastian kepada pengusaha serta persekitaran perniagaan yang menyokong perkembangan industri.
“Kita akan terus memberi perhatian kepada pembangunan modal insan menerusi kerjasama dengan institusi pengajian tinggi, CENTEXS dan TEGAS bagi memperluas latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Usaha bertujuan memenuhi keperluan operasi industri, memperkukuh daya saing perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta memastikan pertumbuhan ekonomi Sarawak dapat diteruskan secara mampan,” tambahnya.



