SERIAN: Pelitup muka menjadi antara barangan yang mendapat permintaan tinggi di farmasi sekitar daerah ini susulan keadaan jerebu yang berlarutan.
Tinjauan Suara Sarawak di sebuah farmasi di sini mendapati stok pelitup muka baik jenis N95 mahupun 3-ply habis sejak Sabtu lalu, manakala bekalan baharu masih dinantikan.
Pembantu farmasi, Stephanie Egang, 22, berkata selain pelitup muka, ubat batuk, ubat titis mata dan alat sedut asma turut mencatatkan permintaan sepanjang tempoh jerebu.

FOTO:(GHAZALI BUJANG)
“Setakat ini, ubat-ubatan lain sudah sampai, cuma pelitup muka belum lagi,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.
Menurutnya, alat sedut asma turut banyak dibeli, khususnya oleh pelanggan yang mempunyai masalah asma, manakala ibu bapa pula mendapatkan ubat-ubatan sebagai persediaan sekiranya anak mereka jatuh sakit.
Sementara itu, pekerja lapangan di sebuah stesen minyak, Eta Usin, 29, berkata majikannya mewajibkan semua pekerja memakai pelitup muka bagi mengurangkan kesan jerebu ke atas kesihatan.

Katanya, keadaan jerebu yang teruk menyebabkan beliau sendiri mengalami demam dan sakit kepala selama kira-kira seminggu pada peringkat awal.
“Lepas sembuh, saya terus pakai pelitup muka sampai sekarang. Sebab kerja di lapangan, kami memang terdedah dengan keadaan ini,” katanya.
Menurut Eta, orang ramai juga semakin prihatin dengan kesihatan masing-masing apabila ramai pelanggan yang datang mengisi minyak turut memakai pelitup muka.



