KUCHING: Zarah halus PM₂.₅ yang terkandung dalam udara semasa episod jerebu merupakan antara ancaman terbesar kepada kesihatan kerana mampu menembusi jauh ke dalam paru-paru dan mencetuskan pelbagai masalah pernafasan, kata Pakar Kesihatan Awam Profesor Madya Dr. Helmy Hazmi.
Menurutnya, zarah pencemar yang berukuran 2.5 mikrometer atau lebih kecil, membolehkannya memasuki sistem pernafasan manusia sehingga ke ruang udara paling kecil di dalam paru-paru.
“Pendedahan kepada zarah halus ini boleh menyebabkan gejala seperti batuk, sesak nafas dan gangguan saluran pernafasan. Ia juga boleh mencetuskan serangan asma serta meningkatkan risiko masalah pernafasan,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.
Mengulas lanjut ujarnya, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang berada pada tahap tidak sihat menunjukkan udara mengandungi kepekatan bahan pencemar yang tinggi, terutama zarah halus PM₂.₅ yang boleh memberi kesan langsung kepada sistem pernafasan manusia.
Mengulas kesan kesihatan jangka pendek yang lazim dialami ketika bacaan IPU berada pada tahap tidak sihat, beliau berkata hampir semua bahagian badan yang terdedah kepada udara tercemar berisiko mengalami gangguan kesihatan.
Jelasnya, mata boleh menjadi pedih, merah dan berair akibat pendedahan kepada zarah pencemar, manakala hidung serta tekak boleh mengalami iritasi, hidung berair atau tersumbat, kerap bersin dan sakit tekak.
“Bagi sistem pernafasan pula, individu mungkin mengalami batuk, sesak nafas, dada terasa ketat dan serangan asma.
“Mereka yang mempunyai penyakit jantung juga berdepan peningkatan risiko komplikasi termasuk serangan jantung apabila terdedah kepada pencemaran udara yang tinggi.
“Ada juga individu yang mengalami iritasi atau kegatalan pada kulit akibat pendedahan berterusan kepada jerebu,” jelasnya.
Tambahnya, kebanyakan gejala ringan akan berkurangan apabila pendedahan kepada udara tercemar dapat dikurangkan, namun orang ramai dinasihatkan mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala yang lebih serius.
“Sekiranya seseorang mengalami sesak nafas yang teruk, sakit atau ketat di dada, serangan asma yang tidak terkawal atau gejala yang semakin teruk, mereka perlu mendapatkan rawatan perubatan dengan segera.
“Golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai penyakit jantung atau paru-paru perlu lebih berhati-hati dan mendapatkan rawatan lebih awal sekiranya mengalami gejala,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar mengurangkan aktiviti luar ketika bacaan IPU berada pada tahap tidak sihat, memakai pelitup muka yang sesuai serta sentiasa memantau perkembangan kualiti udara semasa bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat jerebu.




