KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) 2027 dan Sukan Para ASEAN merakamkan penghargaan atas peluang yang diberikan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) untuk bersama-sama menjayakan perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 – antara perlumbaan berbasikal paling berprestij di rantau Asia.
Menerusi perlumbaan LTdL tahun ini, Sekretariat MASOC 27 selaku urus setia penganjuran Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 akan memiliki platform terbaik untuk mempromosikan temasya sukan serantau Asia Tenggara ini bersama dengan acara berbasikal yang cukup terkenal di seluruh dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MASOC 2027, Datuk Abdul Rashid Yaakub dalam ucapannya berkata, Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 bakal berlangsung lebih kurang setahun dari sekarang. Justeru MASOC 27 memerlukan platform terbaik bagi memastikan temasya ini dipromosikan menerusi konsep ‘integrated marketing solutions’, sejajar dengan tanggungjawab mereka untuk merancang, menyelaras dan melaksanakan penganjuran sukan terbesar di rantau Asia Tenggara ini.
“Keputusan kerjasama ini kami ambil berdasarkan keseluruhan pakej pulangan penajaan yang cukup lengkap, khasnya peluang untuk mempromosikan Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN ke seluruh dunia menerusi penyiaran TV antarabangsa.
“Ini selari dengan misi kami bagi memastikan khasnya jiran-jiran kita di Asia Tenggara diuar-uarkan tentang acara ini semasa menonton perlumbaan berbasikal yang saya kira antara yang terbesar di Asia,” kata Abdul Rashid pada majlis pengumuman kerjasama promosi Sukan SEA dan Para ASEAN 2027 dengan LTdL 2026 di sini hari ini.
Menurutnya, LTdL memberikan ruang promosi domestik yang sangat unik dan efektif.
“Penjenamaan Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 akan terlihat menerusi salah satu jersi utama perlumbaan LTdL 2026, iaitu Jersi Raja Pecut (King of Sprint Jersey)”, katanya.
Abdul Rashid turut menyatakan kegembiraan atas kejayaan mendapatkan penjenamaan jersi ini.
Edisi ke-30 LTdL26 akan bermula dengan Peringkat 1 Shah Alam-Kampar pada Ahad ini dan berakhir dengan Peringkat 8 Muar ke Putrajaya pada 4 Oktober depan, membabitkan jarak keseluruhan 1,285.5km.
Sebanyak 20 pasukan termasuk dua pasukan WorldTeam, lapan ProTeam, sembilan pasukan Benua dan satu pasukan kebangsaan Malaysia akan mengambil bahagian dalam edisi ke-30 kali ini.
Sementara itu, Safrushahar berkata, MSN selaku antara jawatankuasa penting yang perlu memastikan kejayaan penganjuran Sukan SEA dan Para 2027 berterima kasih dengan kesudian MASOC untuk menjalin kerjasama dengan LTdL26.
Katanya, pihak MSN bersetuju supaya promosi Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 ditonjolkan menerusi penjenamaan untuk jersi Raja Pecut, King of Sprint, pada LTdL 2026 ini.



