KUCHING: Tidak perlu menjadi sempurna untuk mencipta kejayaan, cukuplah berani menjadi wanita pertama yang melakukannya meskipun ketakutan datang menerpa.
Demikian kata-kata pembakar semangat oleh Jezzebelle Buyau Lesllet Kalom, 17, yang meraih Anugerah Premier Sarawak Pemimpin Muda Wanita sempena Sambutan Hari Wanita Peringkat Sarawak 2026.

Sambutan itu dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Walaupun menjadi antara penerima termuda, usia muda tidak menghalang Jezzebelle mencurahkan bakti kepada masyarakat serta menjadi teladan kepada generasi muda yang bakal menerajui kepimpinan pada masa hadapan.

Mengimbas detik namanya diumumkan sebagai penerima anugerah itu, Jezzebelle mengakui seakan-akan tidak percaya apabila segala usaha yang dicurahkan sejak di bangku sekolah akhirnya mendapat perhatian.
Katanya, perasaan gementar mula menyelubungi dirinya sebaik sahaja melangkah ke pentas sebelum emosi bercampur baur datang menerpa apabila melihat namanya tertera sebagai pemenang.

“Pada mulanya, saya berasa seperti sedang bermimpi dan sukar mempercayainya.
“Selepas menerima anugerah itu, barulah segala emosi datang serentak sehingga tangan saya menggeletar apabila melihat nama sendiri,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak, hari ini.
Bagi Jezzebelle, pengiktirafan itu bukan sesuatu yang pernah diletakkan sebagai sasaran khusus, sebaliknya hadir daripada kepercayaannya untuk terus memberikan yang terbaik dalam setiap perkara sejak Tingkatan Satu.
“Saya tidak pernah membayangkan bahawa suatu hari nanti saya mahu menerima anugerah ini.
“Saya hanya terus percaya kepada diri sendiri, melakukan yang terbaik dan berharap segala usaha keras itu akhirnya berbaloi.
“Hari ini, saya berasa bangga kerana usaha tersebut akhirnya diiktiraf,” ujarnya.
Dalam pada itu, perjalanan kepimpinannya bermula di sekolah apabila Jezzebelle memegang pelbagai tanggungjawab termasuk sebagai ketua pengawas, naib presiden pertama Kelab Leo serta presiden dan komander Girls’ Brigade.
Sebelum dilantik sebagai naib presiden, beliau turut berkhidmat sebagai setiausaha Kelab Leo dan menerima Anugerah Perak atas sumbangannya dalam jawatan berkenaan.
Keupayaan mengendalikan acara turut menjadikan Jezzebelle antara individu utama yang sering diberikan kepercayaan oleh pihak sekolah untuk menjayakan pelbagai program.
Tambahnya, antara pengalaman paling bermakna ialah apabila beliau dipilih sebagai pengacara konsert sekolah yang kembali dianjurkan selepas hampir 10 tahun tidak diadakan.
“Peluang berdiri di hadapan khalayak ramai dalam acara besar itu menjadi antara detik penting yang membina keyakinan dan kemahiran saya sebagai pemimpin muda,” kongsinya.
Di luar sekolah, Jezzebelle turut aktif sebagai Pegawai Perhubungan Awam Majlis Kanak-Kanak Bandar Raya Miri menerusi Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak.
“Melalui pelibatan ini, saya berpeluang mengikuti forum bersama wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi memahami cabaran yang dihadapi kanak-kanak dan masyarakat di Sarawak, termasuk isu kemudahan asas serta kekangan pembangunan.
“Program ini turut menghimpunkan ahli majlis kanak-kanak dari Kuching, Bintulu dan Sibu untuk bertukar pandangan, membina persahabatan serta melaksanakan projek bulanan mengikut tanggungjawab masing-masing,” ujarnya.
Pengalaman itu membuka matanya terhadap realiti masyarakat dan mengukuhkan tekadnya untuk menggalakkan golongan muda tampil menyumbang penyelesaian kepada masalah di sekeliling mereka.
Namun, perjalanan sebagai pemimpin muda bukan sentiasa mudah apabila Jezzebelle perlu berdepan tanggapan bahawa wanita tidak mampu mencapai kejayaan setanding lelaki.
Daripada membiarkan persepsi itu melemahkan semangat, beliau memilih untuk menerima perbezaan, tampil menyerlah dan mempercayai naluri sendiri meskipun terpaksa melangkah keluar daripada zon selesa.
“Saya selalu mengingatkan diri bahawa tidak mengapa untuk menjadi sedikit berbeza dan tampil menonjol.
“Dunia memerlukan seseorang yang mampu membuktikan bahawa wanita juga boleh mencapai kejayaan setanding lelaki.
“Saya tidak perlu sempurna dan tidak mengapa melakukan kesilapan sepanjang perjalanan, asalkan saya berani mencuba menjadi wanita pertama yang melakukan sesuatu inisiatif,” tegasnya.
Sebagai wanita Iban, Jezzebelle berharap setiap pencapaiannya mampu membuktikan bahawa latar belakang, jantina dan usia bukan penghalang untuk melangkah jauh.
“Apabila seorang wanita Iban berani membuka jalan, kejayaannya boleh memberikan keyakinan kepada lebih ramai gadis muda bahawa mereka juga mampu melakukannya,” kongsinya.
Dalam masa terdekat, Jezzebelle yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedang mencari peluang biasiswa bagi melanjutkan pengajian ke peringkat A-Level.
“Saya bercadang mengikuti bidang kewangan dan perakaunan sebelum melanjutkan pengajian ijazah di luar negara, namun saya masih terbuka untuk meneroka bidang undang-undang serta menyambung pengajian sehingga peringkat sarjana,” katanya.
Walaupun bakal memberikan perhatian kepada akademik, Jezzebelle menegaskan pelibatannya dalam kepimpinan dan khidmat masyarakat tidak akan terhenti.
Tegasnya, kepimpinan bukan sekadar projek atau jawatan, sebaliknya suatu ‘karya hati’ yang lahir daripada keprihatinan terhadap masyarakat dan insan di sekelilingnya.
“Walaupun kadangkala saya berasa cemas atau malu, jalan ini akan sentiasa menarik saya kembali kerana saya mahu terus mengambil berat terhadap orang di sekeliling,” jelasnya.
Mengakhiri perkongsiannya, Jezzebelle menyeru wanita dan masyarakat Bumiputera, khususnya Iban, supaya sentiasa percaya kepada kebolehan diri, tidak mengehadkan impian serta memberikan sepenuh hati dalam setiap perkara yang dilakukan.
“Jangan sesekali berpuas hati dengan sesuatu yang kurang daripada kemampuan anda.
“Berusahalah mencapai yang terbaik, jangan mengikat diri dengan batasan dan berikan seluruh hati anda,” ujarnya.
Dalam pada itu, sebanyak tujuh anugerah disampaikan kepada tokoh wanita dan pertubuhan yang memberi sumbangan cemerlang sempena Sambutan Hari Wanita Sarawak 2026 yang bertemakan Wanita Sarawak dalam Ekonomi Digital.
Anugerah Datuk Patinggi Laila Taib diterima Toh Puan Hayati Ahmat, manakala Anugerah Premier Sarawak Pemimpin Wanita dianugerahkan kepada Datuk Fenny Nuli.
Anugerah Premier Sarawak Usahawan Wanita pula diterima Dr Sharifah Suzana Wan Shukran, sementara Ivy Pan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Premier Sarawak Penggiat Sosial Wanita.
Sim Ko Sin meraih Anugerah Khas Premier Sarawak – Sarawak Women in Digital Economy, manakala Persatuan Kanser Kanak-Kanak Sarawak (SCCS) menerima Anugerah Premier Sarawak NGO Cemerlang atas sumbangannya kepada masyarakat.





